KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad sah meletakkan jawatan sebagai pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang).

Presiden Pejuang, Datuk Seri Mukhriz Mahathir memaklumkan, pihaknya menerima keputusan Dr Mahathir untuk berundur dari jawatan tersebut.

"Seluruh Anggota Majlis Eksekutif Pusat dan ahli parti serata negara menyanjung tinggi jasa, pemikiran, tunjuk ajar dan kepimpinan beliau sepanjang memegang jawatan Pengerusi.

"Penghargaan yang tidak terhingga kami ucapkan kepada Ayahanda Tun. Hanya Allah SWT sahaja yang boleh membalas jasa beliau kepada kami," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Menurut Muhkriz, biarpun tidak lagi memegang jawatan pengerusi, Dr Mahathir kekal sebagai ahli Pejuang.

Pejuang mencatatkan prestasi terburuk pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu apabila seramai 67 calon yang dipertaruhkannya hilang wang pertaruhan mereka, termasuklah Dr Mahathir dan Mukhriz.

Dr Mahathir mengalami kekalahan teruk di Langkawi dengan menduduki tempat keempat dalam pertandingan lima penjuru.



Mukhriz turut mengalami nasib yang sama, apabila tewas di Jerlun, kerusi yang disandangnya sejak 2018, selepas Perikatan Nasional (PN) memenangi kerusi itu dengan majoriti 20,456 undi pada 19 Nov lalu.