KUALA LUMPUR: Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) sedia mempertimbangkan jika Perikatan Nasional (PN) mempelawa mereka untuk menyertai Kabinet di bawah gabungan itu, kata pengerusinya Tun Dr Mahathir Mohamad.

"Kita akan fikir," katanya dalam program Ruang Bicara dengan tajuk 'Mencari Malaysia Yang Lebih Baik' yang disiarkan di Bernama TV malam tadi.

Menerusi temu bual itu juga Dr Mahathir menjelaskan beliau tidak berhasrat memegang jawatan dalam Kabinet sebaliknya hanya mahu mengetuai Majlis Pemulihan Negara (MPN).

"Saya tak berminat dengan Kabinet, saya cuma berminat untuk mengetuai Majlis Pemulihan Negara (MPN), mahu putuskan apa yang sepatutnya dilakukan, tetapi apa yang kami putuskan kerajaan perlu terima," katanya lagi.

Beliau juga menjelaskan tidak boleh memberi tempoh masa untuk menyelesaikan masalah pandemik COVID-19 kerana variannya sentiasa berubah.

Dr Mahathir juga menjelaskan pernah menawarkan khidmatnya ketika kes masih rendah, namun ia tidak diendahkan oleh pentadbiran sebelum ini.