ALOR SETAR: Ahli-ahli Barisan Nasional (BN) serta kepimpinan di peringkat Bahagian dan Cawangan dinasihatkan untuk tidak mempersoalkan dan menyentuh perkara-perkara yang melibatkan soal pembahagian kerusi antara parti-parti kompenan.

Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, perbincangan berkaitan hal-hal yang melibatkan perkara itu hanya akan membawa kepada rasa syak wasangka dan tidak puas hati di dalam gabungan tersebut.

Tambahnya, perkara itu juga perlu diserahkan kepada kepimpinan di peringkat pusat melibatkan presiden, dan biro politik parti masing-masing.

Bagaimanapun, jelas beliau, kedudukan pembahagian kerusi adalah mengikut 'status-quo' setakat ini.

"Setakat hari ini, kita maintain (kekalkan) kita punya 'status quo' jadi saya harap supaya tidak timbul soal yang mengatakan kita nak ambil kerusi siapa ataupun kita perlu memberi kerusi kepada siapa, 'let the party decide first' (biar parti tentukan terlebih dahulu)... saya harap begitu, supaya jangan kita mengeruhkan suasana semangat keakraban kita dalam Barisan Nasional.

"Ini penting kerana kita nak menghadapi (pilihan raya) keutamaan kita, kita (juga) nak menang pilihan raya dan kita tidak mahu ada wujudnya perasaan,syak wasangka dan juga rasa tak puas hati antara satu sama lain (babitkan parti di dalam BN)," tegasnya.

Mohamad berkata demikian ketika sidang media selepas mengadakan pertemuan bersama jentera pilihan raya BN dan penyerahan tauliah pelantikan pengerusi-pengerusi pusat daerah mengundi (PDM) seluruh Kedah di Bangunan Tunku, Alor Setar, pada Rabu.

Sebelum ini, Ketua Bahagian UMNO Alor Setar, Datuk Mohd Yusof Ismail beberapa kali menggesa kepimpinan tertinggi UMNO dan BN digesa untuk meletakkan calon dari parti itu bagi mewakili BN untuk bertanding di kerusi Parlimen Alor Setar pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) berbanding MCA.

Tindakan itu menurutnya perlu dilaksanakan selepas MCA yang mewakili BN sebelum ini telah mengalami kekalahan ‘teruk’ pada PRU-13 dan PRU-14 selain jumlah sokongan pengundi Cina juga dilihat semakin berkurangan terhadap calon daripada parti itu.