SEREMBAN: Pembangkang mendukung usaha dan komitmen kerajaan untuk melaksanakan Undi18 menjelang akhir tahun ini, kata ketuanya Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata soal teknikal dan perkara berkaitan peruntukan undang-undang tertentu tidak wajar dijadikan alasan sehingga melengahkan pelaksanaan Undi18.

"Pendirian kita ia (Undi18) mesti dijalankan... bila saya jumpa PM (Perdana Menteri), saya juga tekankan bahawa hal ini perlu dijalankan, amanah ini iaitu memastikan Undi18 diluluskan sebelum akhir tahun ini maknanya sebelum Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan datang," katanya.

Pengerusi Pakatan Harapan itu berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan mesyuarat Majlis Pimpinan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Negeri Sembilan di Kediaman Rasmi Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun di sini hari ini.

Anwar, yang juga Presiden PKR, berkata perkara itu (Undi18) turut dibincang ketika perjumpaan wakil parti pembangkang bersama dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau juga percaya jika Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mendapat arahan yang jelas, mereka mampu melaksanakannya dengan baik.

Pada 7 Sept lepas, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar dilapor berkata SPR telah diarah melaksanakan Undi18 menjelang 31 Dis ini sebagai mematuhi keputusan mahkamah.

Mengulas kemelut politik di Negeri Sembilan, Anwar yang juga Ahli Parlimen Port Dickson berkata kedudukan Aminuddin selaku Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR negeri kekal meskipun terdapat desakan meminta beliau digantikan.

"Dalam mesyuarat tadi, isu kedudukan Menteri Besar tidak berbangkit, kita beri sokongan penuh, apa yang dibangkitkan adalah permintaan supaya beliau memberi perhatian kepada keperluan parti dan cabang-cabang untuk memperkukuh jentera menghadapi PRU15," katanya.

-- BERNAMA