IPOH: Pengerusi UMNO Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berharap tiada pihak yang menyalahkan Presiden parti berhubung pemecatan dan penggantungan beberapa pemimpin UMNO pada Jumaat.

Beliau berkata, keputusan yang menyaksikan Khairy Jamaluddin Abu Bakar dan Tan Sri Noh Omar dipecat adalah hasil siasatan Lembaga Disiplin UMNO berdasarkan laporan dan aduan yang diterima.

"Dalam UMNO ini yang menjatuhkan hukum bukan Presiden parti. Jatuh hukum adalah Lembaga Disiplin parti.

"Jika ada aduan yang dibuat ke atas seseorang ahli kepada Lembaga Disiplin maka lembaga itu akan mengadakan siasatan, menghakimi dan (seterusnya) membuat keputusan.

"Laporan itu kemudiannya dibawa dalam mesyuarat MKT (Majlis Kerja Tertinggi) semalam. Presiden parti yang mempengerusikan mesyuarat hanya membacakan, bukan dia yang buat keputusan," katanya ketika ditemui pemberita di sini pada Sabtu.

UMNO | Tiada jaminan UMNO tak berpecah jika tiada ahli dipecat, gantung

Pada Jumaat media melaporkan, bekas Ahli Parlimen Rembau dan bekas Pengerusi UMNO Selangor itu dipecat daripada UMNO serta-merta.

UMNO turut menggantung keahlian beberapa pemimpin lain antaranya Ahli Parlimen Sembrong yang juga bekas Naib Presiden parti, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan bekas Ketua Penerangan, Shahril Sufian Hamdan selama enam tahun.

Saarani yang juga Menteri Besar Perak menegaskan, sebagai ahli perlu akur kepada perlembagaan dan peraturan parti bahawa mana-mana ahli yang membuat silap dan melanggar disiplin akan dikenakan tindakan.

Tambahan pula katanya, tiada jaminan bahawa UMNO tidak akan mengalami perpecahan sekiranya mereka yang melanggar disiplin ini tidak dipecat dan digantung.

"Kedapatan seseorang ahli parti telah melanggar disiplin melampau-lampau, jatuhkan maruah parti, bocorkan rahsia dan kutuk presiden. Bukan tegur tetapi dia kutuk.

"Siapa boleh bagi jaminan jika Lembaga Disiplin tak ambil tindakan kepadanya maka UMNO akan terus kukuh kerana di luar sana orang menyalahkan juga apalah presiden parti, apalah lembaga disiplin tak ambil tindakan, orang marah dan akan berpecah belah juga," katanya. -Sinar Harian