KUALA LUMPUR: Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi enggan memberi sebarang komen berhubung keputusan mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO pada Jumaat lalu yang menggantung serta memecat beberapa ahli pemimpinnya.

Bagaimanapun, Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri itu berkata, beliau akan menjawab mengenai isu tersebut dalam suatu majlis yang akan diadakan tidak lama lagi.

“Tunggu saya akan jawab. Saya akan jawab dalam satu majlis nanti,” katanya ketika ditanya pemberita selepas program Karnival Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) 2023 di Dataran Merdeka pada Sabtu.

Program tersebut dirasmikan oleh Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Pada Jumaat, Mesyuarat MKT UMNO memutuskan bekas Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin Abu Bakar dan bekas Pengerusi UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar dipecat daripada parti.

Selain Khairy, UMNO turut menggantung keahlian beberapa pemimpin lain antaranya ialah Ahli Parlimen Sembrong yang juga bekas Naib Presiden, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan bekas Ketua Penerangan, Shahril Sufian Hamdan selama enam tahun.


Artikel asal di Sinar Harian