Mana-mana ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) tidak dihalang untuk menjadi calon bagi apa jua jawatan termasuk di peringkat tertinggi.

Pengerusinya, Tun Dr Mahathir Mohamad menegaskan, paling penting ialah mereka menjadi ahli berdaftar dan membuat pembayaran penuh yuran.

"Tidak ada cadangan jawatan tertentu tidak ditandingi," katanya semasa sidang media selepas Mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu di Yayasan Kepimpinan Perdana, pada Isnin.

Bersatu dijadual mengadakan pemilihan buat kali pertama bagi semua jawatan bermula di peringkat cawangan tahun ini.

Dalam perkembangan berkaitan, Dr Mahathir memberitahu, Mesyuarat Khas Bersatu untuk meminda perlembagaan parti itu akan diadakan pada 20 Julai ini di Tapak Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS), Serdang.

Sebelum ini, Ahli Jawatankuasa Bersatu Bahagian Arau, Dr Ammar Hassan mencadangkan supaya dibuat pindaan perlembagaan agar kaedah satu ahli satu undi digunakan dalam pemilihan parti itu.

Katanya, kaedah itu dilihat lebih telus selain mengelak sebarang unsur politik wang sekiranya proses pengundian berkenaan melalui perwakilan.

Kaedah sebelum ini adalah seorang individu akan mewakili 30 ahli bagi setiap satu undi.