KUALA LUMPUR: Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mengucapkan tahniah kepada Mohd Rafizi Ramli yang setakat ini jauh mendahuluinya dalam Pemilihan Parti Keadilan Rakyat (PKR) bagi jawatan Timbalan Presiden.

Menerusi coretan di Facebook peribadinya, Saifuddin menjelaskan beliau menghormati keputusan yang telah dibuat oleh ahli-ahli PKR seluruh negara.

“Jawatankuasa Pemilihan Parti telah paparkan keputusan pemilihan pada hari ini. Biarpun belum dikira keputusan rasmi, namun saya telah mengutus ucap tahniah kepada Rafizi Ramli, Nik Nazmi (Nik Ahmad), Chang Li Kang dan lain-lain pemenang.

“Sikap saya mudah dan jelas. Hormat keputusan yang dibuat oleh anggota-anggota parti. Amalan demokrasi menentukan ada yang terpilih dan ada yang tidak. Jangan sesekali carikkan silaturrahmi.

“Sentiasa jaga perpaduan sesama anggota parti. Insya-Allah, PKR akan terus kuat,” katanya

Saifuddin menjelaskan, tugasnya sebagai Setiausaha Agung PKR akan berakhir sebaik sahaja selesai Kongres Nasional PKR yang akan berlangsung Jun nanti dan 20 Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) selesai dipilih.

Keputusan tidak rasmi yang dipaparkan di laman sesawang Pemilihan PKR 2022 menyaksikan Mohd Rafizi jauh meninggalkan Saifuddin dalam persaingan merebut kerusi nombor dua PKR.

Setakat pukul 8.30 malam, keputusan tidak rasmi untuk 13 negeri melibatkan 190 cabang menyaksikan Mohd Rafizi memperolehi 64,423 undi.

Saifuddin yang juga ahli parlimen Kulim Bandar Baru jauh di belakang dengan mendapat 47,140 undi ketinggalan 17,283 undi.