SHAH ALAM: Calon Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli setakat ini mendahului pencabarnya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dengan kelebihan 963 undi di Melaka.

Menerusi laman sesawang Pemilihan Keadilan 2022, Rafizi memperoleh 2,427 undi berbanding 1,464 oleh Saifuddin di enam cabang.

Bekas Naib Presiden parti berkenaan menang di semua cabang dengan undi tertinggi diperoleh di Masjid Tanah iaitu 551 diikuti Alor Gajah (543), Tangga Batu (499), Hang Tuah Jaya (459), Kota Melaka (216) dan Jasin (159).

Bagi Saifuddin pula undi tertinggi diperoleh beliau ialah di cabang Alor Gajah iaitu 493, di Tangga Batu (197), Hang Tuah Jaya (433), Kota Melaka (173) dan Jasin (135) serta jumlah di Masjid Tanah sungguh mengejutkan kerana hanya 33 undi diterimanya.

Setakat ini hanya keputusan dan jumlah undi bagi Melaka dikeluarkan oleh Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) di laman sesawang berkenaan.

Seramai 1,118,423 ahli PKR layak mengundi pada Pemilihan PKR 2022 yang menyaksikan seramai 11,282 calon merebut pelbagai jawatan di peringkat pusat, cabang dan sayap.

Buat julung kalinya, pemilihan PKR diadakan secara hibrid, iaitu menerusi fizikal dan dalam talian melalui aplikasi ADIL yang diperkenal 28 Februari lalu.

Pengerusi JPP, Dr Zaliha Mustafa sebelum ini memaklumkan, pengundian dalam talian bagi Pemilihan PKR 2022 yang dilaksanakan buat julung kali mendapat sambutan baik, apabila seramai 67,419 ahli parti itu telah mengundi melalui aplikasi ADIL sejak 18 Mei.


* Artikel asal di Sinar Harian