KUALA LUMPUR: Bekas Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin Abu Bakar mahu jawatan Presiden dan Timbalan Presiden UMNO dipertandingkan bagi memastikan amalan demokrasi dalam parti tidak terkubur.

Jelasnya, pertandingan jawatan tertinggi dalam parti itu perlu dipertandingkan memandangkan Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi adalah seorang pejuang yang tidak gentar menghadapi pencabar.

“Hentikan kegilaan ini. Saya rasa Presiden seorang fighter yang tidak gentar menghadapi pencabar.

"Buka ruang pertandingan. Jangan matikan demokrasi dalam UMNO,” jelasnya dalam muat naik di Instagram Story pada Khamis.

Khairy memuat naik kenyataan itu bersama gambar grafik berkaitan 126 Ketua UMNO Bahagian menyokong jawatan Presiden dan Timbalan Presiden tidak dipertandingkan.

Dalam hantaran sama, beliau turut menimbulkan beberapa persoalan berkenaan hak perwakilan untuk memilih ketua mereka.

“Apakah UMNO ini milik Ketua-Ketua Bahagian ini sahaja? Apakah para perwakilan dan akar umbi tidak punya hak memilih ketua mereka?” soalnya dalam hantaran di Instagram Story.

Semalam, media melaporkan seramai 140 Ketua Bahagian UMNO seluruh negara menyatakan solidariti agar jawatan presiden tidak dipertandingkan pada pemilihan UMNO akan datang.

Mewakili kumpulan itu, Ketua UMNO Bahagian Wangsa Maju Datuk Seri Dr Mohd Shafie Abdullah berkata ketua-ketua bahagian itu turut bersepakat jawatan timbalan presiden juga tidak dipertandingkan.

Hantaran oleh Khairy Jamaluddin di laman Instagramnya berkenaan Pemilihan UMNO - Foto/Instagram/KhairyKJ