KUALA LUMPUR: Jawatan Presiden UMNO dan Timbalan Presiden UMNO wajar dipertandingkan dalam pemilihan parti tersebut yang dijadualkan berlangsung pada tahun depan.

Exco Pergerakan Pemuda UMNO Datuk Muhamad Muqharabbin Mokhtarrudin berkata, sekiranya benar terdapat usaha untuk menghalang kedua-dua jawatan itu dipertandingkan, beliau berpendapat UMNO semakin hilang arah dan identiti perjuangan.

Tegasnya, ia juga bakal menjadi satu lagi episod hitam buat UMNO selepas kalah teruk dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

BACA: PAU 2022: UMNO dalam keadaan genting jika jawatan Presiden tidak dicabar - Penganalisis

“Kita bukan menang besar semasa PRU15. Sekiranya menang sekalipun, jawatan Presiden dan Timbalan Presiden tetap wajar dipertandingkan.

“Setiap tiga tahun kita mengadakan pemilihan parti. Kali terakhir tahun 2018, 150,000 perwakilan mengundi memilih pimpinan baharu di peringkat Bahagian dan Pusat.

BACA: "Jangan sekat demokrasi dalam UMNO" - Nazri Aziz

“Jika dulu sebelum PRU15 kita tidak mengadakan pemilihan atas alasan tidak mahu perpecahan dalam parti dan fokus PRU, sekarang pun tidak boleh?” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Melabel UMNO sebagai “bukan parti keluarga”, Muhamad Muqharabbin menegaskan parti yang mempunyai lebih tiga juta ahli itu perlu terbuka mempertandingkan dua jawatan tertinggi parti.

“Presiden kita sekarang, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, juga presiden pertama yang membenarkan jawatan presiden dipertandingkan pada tahun 2018 selepas kali terakhir jawatan ini dicabar dalam pemilihan parti tahun 1987.

Pasca PRU15 | Pemimpin kanan UMNO, jangan tengok sahaja

“Ia bukti UMNO semakin matang dan demokratik seiring usianya. Tiada pun masalah timbul tahun 2018. Yang menang dihormati, yang tewas kekal bersetia.

“Jadi, kenapa kita tiba-tiba ingin ambil langkah kuno ke belakang? Sedangkan, kita kalah teruk PRU15, yang jelas lebih menuntut perubahan dan pembaharuan,” ujarnya.

Astro AWANI sebelum ini melaporkan, Ketua UMNO Bahagian Padang Rengas Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata.  mana-mana pihak atau individu tidak seharusnya menyekat amalan demokrasi yang telah lama subur dalam UMNO.

Pasca PRU15 | Ahmad Zahid dimohon letak jawatan

Menurut Mohamed Nazri, sebagai sebuah parti terulung yang terlibat dalam sistem demokrasi di negara ini, UMNO perlu menunjukkan contoh dengan membenarkan pemilihan semua jawatan dalam parti dipertandingkan.

Katanya, jika terdapat usaha untuk menghalang jawatan tertentu daripada dipertandingkan, UMNO akan menjadi sebuah parti yang tidak lagi demokratik.