SHAH ALAM: Pemuda Pas Selangor menempelak sikap ahli politik yang sibuk mengumpul surat akuan bersumpah (SD) ketika barisan hadapan sedang bertungkus-lumus menangani pandemik COVID-19.

Ketua Pemuda Pas Selangor, Hanapi Zulkapli berkata, malah rakyat masih terbeban dengan pelbagai kesan pandemik dan sudah tentu keadaan semasa ini juga akan membawa gangguan kepada kestabilan politik negara.

Hanapi berkata, pengurusan pandemik COVID-19 bermula sejak tahun lalu perlu diberikan keutamaan semua pihak termasuk ahli politik yang mahu menjatuhkan kerajaan Perikatan Nasional (PN).

"Kegilaan apakah yang berlaku kepada ahli politik pembangkang di saat ini yang kelihatan lebih bersungguh untuk menukar Perdana Menteri daripada menyelesaikan kemelut negara dalam menangani pandemik yang sedang melanda.

"Bukan siapa memiliki majoriti. Bukan juga tuntutan kepada peletakan jawatan Tan Sri Muhyiddin Yassin. Kerana siapa juga yang menjadi Perdana Menteri, bukan boleh terus menghilangkan pandemik secara ajaib.

"Isu sekarang ialah kerjasama semua pihak dalam memberikan fokus kepada pemulihan negara yang telah dirancang," katanya dalam satu kenyataannya pada Ahad.

BACA: Ismail Sabri, Hamzah Zainudin hadir mesyuarat tergempar - Laporan

[INFOGRAFIK] Kedudukan sokongan kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin (Setakat 12 Ogos 2021)


Dalam pada itu, beliau berkata, banyak negara luar yang menunjukkan bagaimana pihak kerajaan dan pembangkang dapat duduk semeja demi menangani Covid-19.

"Terbaharu Perdana Menteri menawarkan kerjasama persefahaman kepada semua parti bagi mewujudkan kestabilan politik negara untuk menangani pandemik adalah sangat baik dan wajar disambut oleh semua parti," katanya.

Tambah beliau, tawaran tersebut melibatkan semua parti termasuklah Parti Keadilan Rakyat (PKR), Parti Amanah Negara (Amanah), Parti Warisan Sabah (Warisan), Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) dan Ikatan Demokratik Malaysia (Muda).

Katanya, namun sekiranya ahli politik terbabit tetap juga berdegil mahu menukarkan Perdana Menteri pada masa sekarang ini maka kemelut politik yang melanda negara sudah pastinya tidak akan dapat diselesaikan.

"Siapa jua naik, politik tidak akan stabil kerana kita tahu semua pihak tidak memiliki majoriti selesa, hanya berharap rundingan untuk saling sokong-menyokong. Jika berlaku tidak puas hati kelak, tarik sokongan, hilang pula majoriti, sampai bila," soalnya.

ARTIKEL ASAL DISIARKAN DI SINAR HARIAN: Pemuda Pas tempelak sikap ahli politik sibuk kumpul SD