Pemuda PAS yakin calonnya mampu menjadi wakil sulung dalam Dewan Undangan Negeri Sarawak selepas pilihan raya negeri itu nanti.

"Kita sudah bersedia. Calonnya pun dah ada. InsyaAllah PAS akan melahirkan wakil sulung parti ini nanti di DUN Sarawak," kata Ketua Pemuda PAS Suhaizan Kaiat ketika ucaptamanya di Muktamar Dewan Pemuda PAS ke-56 di Shah Alam petang tadi.

Tambah beliau, ahli-ahli PAS, khususnya Pemuda harus bersatu padu bagi memastikan dapat mendepani mana-mana cabaran.

"Kita tidak mahukan pemuda yang hanya hebat dari segi teori tetapi dia juga perlu menabur amal kepada rakyat," kata Suhaizan.

Muktamar Dewan Pemuda bermula hari ini dan dirasmikan oleh Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu.

Turut hadir, Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali serta Naib Presiden Salahuddin Ayub dan Datuk Mahfuz Omar.