JIKA anda bertanya saya sama ada Pakatan Harapan akan memenangi pilihan raya negeri Melaka, jawapan saya buat masa ini ialah “saya tak tahu lagi”. Jawapan yang lebih tepat ialah “terpulang kepada jumlah orang keluar mengundi”. Semuanya akan ditentukan pada saat-saat akhir nanti.

Saya telah berada di Melaka sejak minggu lalu untuk membantu kempen Pakatan Harapan dalam PRN Melaka bersama dengan beberapa rakan muda. Saya akui memang sukar untuk berkempen sekarang kerana pelbagai SOP dikuatkuasakan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya, termasuk larangan ceramah, lawatan rumah ke rumah dan banyak lagi sekatan temu mesra dengan pengundi.

Keadaan ini turut menyukarkan UMNO, seperti yang kita semua ketahui, merupakan sebuah parti besar yang dikatakan mempunyai 3.5 juta ahli, yakni hampir 20% daripada jumlah penduduk dewasa di Malaysia. Sudah tentu ramai yang menyangka jumlah yang besar itu akan memberi kelebihan undi kepada UMNO.

Namun, ramai orang dewasa, termasuk ahli dan penyokong UMNO, tidak mendaftar sebagai pengundi. Malah, kalau mereka mendaftar pun, tidak pula keluar mengundi.

Keadaan ini dijangka berubah apabila Undi18 serta pendaftaran pengundi secara automatik bakal dilaksanakan pada Mac tahun depan.

Di Sarawak, Dewan Undangan Negerinya telah dibubarkan pada 3 November lalu. Kerajaan negeri sementaranya pimpinan GPS yang merupakan sahabat kepada Perikatan Nasional kini bermati-matian mahu mengadakan pilihan raya negeri sebelum 31 Disember ini.

GPS bimbang dengan kehadiran Undi18 serta pengundi baharu yang tidak diketahui hala tuju sokongannya mereka jika PRN diadakan tahun depan.

Sebenarnya, para pemimpin lama, sama ada di Semenanjung atau Sarawak, lebih suka jika pengundi hanya terdiri daripada ahli-ahli parti serta penyokong tegar parti mereka sahaja.

Kalau boleh, UMNO di Semenanjung dan GPS di Sarawak tidak mahu melihat pendaftaran pengundi baharu serta lebih rela dengan jumlah keluar undi yang kecil. Ramai pemimpin lama takut dengan kehadiran pengundi muda dan baharu, termasuk di Melaka.


PERTANDINGAN SENGIT

Sebanyak 28 kerusi DUN dipertandingkan di Melaka. Setiap kerusi kebanyakannya mempunyai tidak lebih 20,000 pengundi, dan daripada maklumbalas yang saya perolehi, jumlah keluar mengundi untuk PRN Melaka dijangka rendah.

Ini adalah kerana ramai pengundi kecewa dengan politik, termasuk marah dengan karenah Barisan Nasional, PN dan PH, di samping bimbang dengan kemungkinan tercetusnya gelombang baharu Covid-19.

Pada PRU 2018, PH menang atas sokongan orang muda serta pengundi Melayu di luar kawasan dan undi kaum bukan-Melayu. UMNO hilang banyak kerusi kerana ia terlalu bergantung kepada pengundi tua serta tegar yang tinggal di Melaka.

Dalam PRU14 itu, UMNO menang enam kerusi marginal dengan mendapat kurang daripada 1,000 undi majoriti di setiap satu kerusi. Jumlah kesemua undi majoriti tersebut ialah 3,080.

Ini bermakna jika UMNO mendapat kurang daripada 3,080 undi di kerusi-kerusi yang berkenaan, ia mungkin hanya menang tujuh kerusi sahaja, dan bukannya 13 seperti yang dimenanginya pada PRU14.

Kerusi-kerusi yang dimenangi UMNO adalah:

Merlimau (UMNO – 130 undi majoriti, 5,290 undi daripada jumlah undi 13,810 atau 5,290/13,810)
Asahan (UMNO – 275 majoriti, 5,942/16,011)
Rim (UMNO – 536 majoriti, 5,301/13,689)
Lendu (UMNO – 627 majoriti, 4,016/10,350)
Taboh Naning (UMNO – 740 majoriti, 3,329/8,743)
Pantai Kundor (UMNO – 772 majoriti, 5,773/15,686)
Pakatan Harapan juga mempunyai kerusi yang dimenangi dengan majoriti kurang daripada 1,000 undi:

Gadek (DAP – 307 majoriti, 4,392/12,922)
Durian Tunggal (Amanah – 763 majoriti, 5,213/13,076)
Klebang (PKR – 789 majoriti, 7,648/20,166)
Katakanlah, PH dan UMNO masing-masing mempunyai sekitar 8 hingga 10 kerusi yang boleh dimenangi. Daripada kesemua 28 kerusi DUN Melaka, jika berlaku peralihan undi (vote swing) di 10 hingga 12 kerusi utama, inilah yang akan menjadi penentu PRN Melaka.

Ini bermakna, setiap satu undi amat berharga.


ERA BN LAWAN PN

Apa yang sedang berlaku di Melaka sekarang?

Dengan sunyinya kempen tanpa ceramah, suasana tiba-tiba dikejutkan dengan kemarahan Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin merangkap Pengerusi Perikatan Nasional terhadap bekas rakan seperjuangannya dalam UMNO Tan Sri Shahrir Samad, sehingga digelarnya “bodoh”.

Kedua-duanya cabar-mencabar seperti kanak-kanak berhubung isu Dewan Negeri Johor.

Nampaknya UMNO sebagai parti tua serta lelah dilihat semakin hilang arahnya. Pertikaian di antara BN yang dipimpin oleh UMNO dan PN yang diterajui Bersatu menjejaskan peluang kedua-dua gabungan itu di Melaka.

UMNO tiada kepimpinan baharu. Ia masih terikat dengan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Najib Razak yang terpalit teruk dengan skandal rasuah. Semakin ramai orang Melayu tidak selesa dengan kepimpinan mereka.

Para pemimpin seperti Datuk Seri Mohamad Hassan dan Datuk Seri Khaled Nordin pula, walaupun tidak dianggap tua, masih terikat dengan pemikiran lama. Bagi mereka berdua, UMNO wajib menjadi “abang besar” dalam politik Malaysia.

Kesemua pemimpin UMNO itu perlu sedar bahawa ketidakstabilan politik negara sejak tiga tahun lalu berpunca daripada sikap mereka memaksa rakyat menerima UMNO sebagai abang besar, walaupun setelah kalah dalam PRU14.

Sikap angkuh ini membawa UMNO merapati PAS untuk sama-sama membakar api perkauman selepas PRU 2018. Mereka tidak peduli jika negara ini hangus asalkan kerajaan Pakatan Harapan ditumbangkan dengan apa cara sekalipun.

Dan mereka berjaya, walaupun untuk seketika sahaja. Namun, walaupun sudah mendapat kuasa, persahabatan yang lahir daripada hati yang kotor menyebabkan mereka bertelagah sesama sendiri, termasuk menjatuhkan kerajaan Melaka pimpinan UMNO.

PRN Melaka juga sedang menyaksikan peristiwa pelik seperti ikrar Muhyiddin mahu melawan korupsi walaupun Bersatu tidak dilihat sebagai parti yang bersih manakala UMNO Melaka dipandang rendah oleh pengundi pelbagai kaum di negeri itu atas kerakusan para pemimpinnya.


CALON KETUA MENTERI YANG TERBAIK

Tidak cukup dengan itu, Najib dipilih menjadi maskot UMNO manakala Bersatu mempertaruhkan imej Muhyiddin sebagai “Abah” untuk menawan hati pengundi.

Mengapa UMNO sanggup menggunakan imej pemimpin yang telah didapati bersalah oleh mahkamah kerana rasuah manakala Bersatu pula bangga dengan bekas Perdana Menterinya yang gagal sehingga terpaksa meletak jawatan?

Jawapannya mudah sahaja – kedua-dua parti menghadapi masalah kepimpinan negeri masing-masing di Melaka.

BN telah menamakan Datuk Seri Sulaiman Md Ali sebagai calon Ketua Menterinya. Tetapi saya dengar bahawa Datuk Seri Ab Rauf Yusoh selaku Pengerusi Perhubungan UMNO Melaka telah dijanjikan jawatan Ketua Menteri selepas PRU15. Ini bermakna Sulaiman terpaksa mengosongkan kedudukannya nanti untuk mencuba nasib bagi kerusi Parlimen.

Rauf sebenarnya tidak popular dengan pengundi Melaka. Dalam satu wawancara dengan Bernama TV pada 11 November lalu, Rauf menafikan bahawa beliau bukan “naga, buaya, singa atau harimau”. Semua jenis haiwan yang disebutnya itu bukan pujian, sebaliknya ia merupakan tuduhan orang terhadapnya.

PN juga menghadapi masalah yang sama. Walaupun ia belum mengumumkan calon Ketua Menterinya, nama-nama yang menjadi sebutan ramai ialah Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen yang penuh kontroversi dan Datuk Mas Ermieyati Samsudin, timbalan menteri wanita yang popular di kalangan pengundi Melayu.

Di sinilah letaknya kelebihan calon Ketua Menteri Pakatan Harapan, Adly Zahari, yang jelas terpampang kewibawaannya sebagai pemimpin berbanding calon-calon lain.

Sebagai bekas Ketua Menteri Melaka sebelum kerajaannya ditumbangkan pada 2020 – termasuk dengan persekongkolan pengkhianat PH seperti Rafiq dan beberapa Adun lain – Adly dilihat sebagai pemimpin yang ramah, jujur, cekap dan popular di kalangan akar umbi.

Jika beliau mampu meyakinkan pengundi-pengundi atas pagar serta pengundi Melaka yang bermastautin di Kuala Lumpur, Johor dan beberapa bandar lain, Adly merupakan harapan terbaik untuk mengembalikan Pakatan Harapan sebagai kerajaan Melaka pada Sabtu ini.


* Liew Chin Tong merupakan Pengerusi DAP Johor

** Kenyataan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mencerminkan pandangan Astro AWANI.