KUALA LUMPUR: Pengasingan kuasa antara Peguam Negara (AG) dan pendakwa raya wajar dilakukan seiring konteks politik hari ini.

Felo Kanan Institut Reformasi Politik dan Demokrasi (Reform), Jufitri Joha berkata, ia juga selari dengan semangat perjanjian persefahaman antara kerajaan dan Pakatan Harapan (PH) dalam membawa pembaharuan pentadbiran.

"Perlembagaan Persekutuan dalam Artikel 145 jelas menyebutkan bahawa Perdana Menteri mempunyai kuasa untuk menasihati Yang di-Pertuan Agong untuk melantik ataupun memilih AG yang menjadi pilihan kepada Perdana Menteri ataupun kerajaan semasa.

"Itu yang tercatat di dalam Perlembagaan negara namun secara moral atau secara roh pembaharuan kepada pentadbiran negara, sewajarnya untuk kita mengasingkan kuasa di antara Peguam Negara dan juga pendakwa raya.

"Kalau kita melihat kepada Akta Tafsiran yang mentafsirkan bahawa Peguam Negara itu juga pada masa yang sama merupakan pendakwa raya.

"Di situ kita lihat dari segi amalan... kalau kita nak menegakkan dari segi prinsip pengasingan kuasa antara eksekutif kehakiman dan juga perundangan, seharusnya kita mengasingkan kuasa AG dan juga kuasa pendakwa raya," katanya kepada Astro AWANI.

Mengenai kenyataan Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said, yang mahu Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, melantik AG daripada kalangan 'orangnya', Jufitri tidak menafikan kuasa Ismail Sabri.

"Jadi kalau secara fizikalnya, apa yang telah disebutkan oleh Azalina itu benar, memang Perdana Menteri mempunyai kuasa untuk memilih AG, namun persoalannya dari segi konsep pengasingan kuasa.

"Dari sudut yang dijelaskan atau yang diambil semangat daripada perjanjian kerajaan dan Pakatan Harapan, salah satu perkara yang harus diberikan tumpuan adalah pembaharuan pentadbiran.

"Apabila kita menyemak MoU di antara pihak kerajaan dan juga PH, tidak dimasukkan sebenarnya peruntukan atau cadangan untuk mengasingkan kuasa antara Peguam Negara dan pendakwa raya, jadi kita harap perkara ini akan diberikan perhatian oleh kerajaan selepas ini," katanya

Jelasnya, apabila adanya pengasingan kuasa itu, Peguam Negara boleh dipilih oleh Perdana Menteri untuk menjadi penasihat undang-undang dan sekali gus memegang jawatan Menteri Undang-Undang.

Katanya, pendakwa raya pula perlu menjalani proses pemilihan yang demokratik, termasuk tatacara pemecatannya.

Pengasingan ini tambah Jufitri, sangat diperlukan bagi memberi keyakinan kepada semua pihak bahawa proses perundangan di negara ini benar-benar bebas dan tidak berada di bawah telunjuk mana-mana pihak.

Sebelum ini, Azalina menegur Perdana Menteri berkenaan pelantikan Peguam Negara.

Azalina yang juga penasihat khas kepada Perdana Menteri berkata, kuasa Peguam Negara adalah sangat besar dan 'tidak boleh dipersoalkan'.

“Sesiapa yang jadi Perdana Menteri akan melantik orang dia untuk jadi Peguam Negara,” katanya.