MARANG: Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang menjelaskan pengguguran Datuk Mohd Khairuddin Aman Razali sebagai ahli jawatankuasa (AJK) Pas berkait dengan masalah disiplin dan perkara dalaman parti.

Menurut Ahli Parlimen Marang itu bagaimanapun, tidak menyentuh secara terperinci masalah disiplin berkenaan dan tidak perlu diperjelaskan kepada umum.

“Itu disiplin perkara dalaman parti untuk ahli-ahli parti sahaja tidak perlu dan sehingga ini, saya mendapat maklumat daripada akar umbi 99.9 peratus berpuas hati  itu adalah pandangan terpencil,” kata Abdul Hadi.

Ketika ditanya sama ada pengguguran itu berkaitan dengan Muafakat Nasional (MN), Abdul Hadi sekali lagi menegaskan ia berkaitan dengan disiplin Mohd Khairuddin.

Beliau berkata demikian selepas menyampaikan kuliah Jumaat di Masjid Rusila di sini, hari ini.

“Tunggulah dan disiplin itu bukan semua ... dia belum dipecat dan digugurkan sahaja sebelum ini, sudah ada nasihat, sudah ada tindakan awal dan kemudian gugur daripada AJK Pusat itu dan kita tengoklah susulannya kelak,” tambahnya.

Abdul Hadi turut berkata, pengguguran Mohd Khairuddin juga tidak akan menjejaskan parti dan sehingga kini, Pas masih dapat berjalan seperti biasa. 

Menurut Ahli Parlimen Marang itu, parti itu pernah berdepan dengan situasi yang lebih besar termasuk krisis Pas Kelantan pada tahun 1979. 

"Tiada perpecahan, tiada. Kita pernah mengalami lebih besar dari itu, krisis Pas pada 1979, menyaksikan ahli Pas beramai-ramai meletakkan jawatan. Pas, waktu itu tidak terjejas dan bangkit semula untuk menawan balik Kelantan," katanya. 

Terdahulu, Ahli Parlimen Bachok, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul menuntut penjelasan rasmi pimpinan tertinggi Pas berhubung pengguguran Mohd Khairuddin.

Bekas Ketua Pmuda yang juga AJK Pas Pusat itu berkata, penjelasan mesti diberikan, bukan sahaja kepada ahli parti, tetapi secara menyeluruh untuk pengetahuan awam.

Sebelum ini media melaporkan Mohd Khairuddin yang merupakan Ahli Parlimen Kuala Nerus digugurkan daripada AJK Pas.