Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin mengakui, kebanyakan orang muda masih tiada keputusan mengenai sokongan politik mereka sepertimana hasil dapatan yang dilakukan oleh ILHAM Centre.

Khairy menjelaskan, kajian yang dibuat oleh Pemuda Barisan Nasional (BN) juga mendapati kebanyakan pengundi muda masih tidak membuat pilihan sokongan politik mereka.

"Kajian tu mungkin tepat sebab berdasarkan kajian kita juga di Pemuda Barisan Nasional, kumpulan pengundi muda ni sangat-sangat atas pagar.

"Mereka belum buat keputusan dan ada antara mereka akan mengundi kali pertama dalam pilihan raya akan datang," katanya dalam sidang media di Kementerian Pertahanan pada Isnin.

Namun Khairy berkata, Pemuda BN mempunyai strategi sendiri untuk memastikan pengundi muda bersama mereka dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).


Semalam, Ketua Pegawai Eksekutif ILHAM Centre, Hisommudin Bakar memberitahu Astro AWANI bahawa tiada parti politik yang berjaya menakluk segmen pengundi orang muda.

"Kumpulan ini dikatakan pengundi yang terapung yang mana kita tak tahu apungan ini ke arah mana, arus mana ia menuju.

"Kerana mereka undi atas dasar rasional dan tidak pada dasar kekuatan parti atau jentera. Mereka menilai dalam segmen yang lebih besar meliputi isu, sentimen, persepsi," tambah Hisommudin.

Baginya, segmen ini masih menjadi rebutan dan penentu kepada kejayaan sesebuah parti politik dalam pilihanraya yang akan datang.