MELAKA TENGAH: Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dilarang untuk mengeluarkan sebarang kenyataan berkaitan kempen Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Pengarah Kanan Bahagian Dasar Kepenjaraan, Supri Hashim berkata, arahan itu bukan sahaja terpakai kepada Najib sahaja, sebaliknya semua individu yang sedang menjalani hukuman penjara.

“Setakat ini (memang) tidak ada apa-apa kenyataan boleh dikeluarkan oleh banduan dalam penjara dan Najib juga tidak boleh (berbuat demikian).

“Malah surat atau dokumen dikeluarkan pun perlu ditapis terlebih dahulu (dan) nak hantar surat kepada keluarga semua perlu ditapis oleh pihak Jabatan penjara,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Perasmian Pameran Menjangkau Abad Dinding Penjara di Muzium Penjara Banda Hilir, di sini, pada Khamis.

Kenyataan Supri sebagai menjawab pertanyaan media sama ada Najib yang juga penyandang Ahli Parlimen Pekan dibenarkan atau tidak mengeluarkan sebarang kenyataan mengenai PRU15 yang akan dilaksanakan dalam tempoh terdekat.

Mengulas lanjut, beliau berkata, segala surat mahupun dokumen yang mahu dihantar oleh setiap banduan kepada keluarga melalui peguam juga perlu ditapis oleh pihak jabatan Penjara.

Tambahnya, Jabatan Penjara juga tidak mencampuri soal politik dan hanya melaksanakan tanggungjawab mengikut pemerintahan kerajaan semasa.

“Saya tak boleh mengulas lanjut soal politik yang mana Jabatan Penjara tidak ada kena mengena dengan politik dan kita ikut apa sekalipun (arahan) kerajaan (semasa) yang memerintah,” tambah Supri.

Pada 23 Ogos lalu, Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta ke atas Najib yang didapati bersalah menyeleweng dana SRC International Sdn Bhd sebanyak RM42 juta.