CHANGLUN: Penubuhan Parti Bangsa Malaysia (PBM) tidak menjejaskan keahlian yang dimiliki Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) ketika ini, meskipun terdapat beberapa ahli yang 'berhijrah' menyertai parti yang baru ditubuhkan penghujung tahun lalu itu.

Ketua Penerangannya, Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, jumlah keahlian parti itu yang direkodkan pada Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) bulan lalu adalah, hampir mencecah 600,000 orang dan semakin meningkat dari semasa ke semasa.

Tambahnya, dakwaan yang mengatakan terdapat beberapa kepimpinan tertinggi Bersatu akan menyertai PBM hanyalah spekulasi yang dimainkan sejak setahun yang lalu.

Beliau turut menyifatkan bahawa kumpulan yang terjejas teruk ketika ini khususnya dalam mendapatkan sokongan rakyat adalah gabungan Pakatan Harapan (PH), berikutan kekalahan teruk di Pilihanraya Negeri (PRN) Melaka dan Sarawak.

"Setakat ini, berdasarkan data yang kita ada keahlian Bersatu tidak berkurang akibat penubuhan Parti Bangsa Malaysia, malah keahlian kita meningkat, (sebelum ini) diumumkan (jumlahnya) sekitar 600,000 orang ahli kita, setakat (yang diumumkan) dalam Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu,

"(Jadi parti) tidak terjejas setakat ini dari segi keadaan Bersatu, (manakala, dari segi keberadaan pula, perkembangan (parti) kita semakin sihat dalam politik negara dan sebenarnya yang agak terdesak (adalah) kawan-kawan dalam PH, PKR dan DAP.

"(Mengambil contoh) dalam PRN yang berlaku di Melaka dan Sarawak, keputusan yang dihadapi ahli gabungan Pakatan Harapan adalah boleh dikatakan bahawa sokongan (terhadap) mereka semakin menurun," kata beliau.

Wan Saiful berkata demikian selepas Majlis Penyerahan Bakul Makanan PTPTN di Masjid Al-Ihsan, Kampung Changkat Setol di sini, pada Jumaat.

Dalam pada itu, mengulas mengenai desas-desus akan berlaku perubahan dalam Kabinet, Wan Saiful berkata, perkara itu adalah di bawah bidang kuasa Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

"Sekali lagi komen saya, ini (adalah) spekulasi, sekarang (ini) ramai kawan wartawan yang telefon tanya… saya punya jawapan ini adalah spekulasi, kalau tambah lagi spekulasi satu lagi, dia akan jadi spekulasi yang lebih besar.

"Jadi elok serah kepada Perdana Menteri untuk bincang dengan pimpinan atasan semua parti, kalau komen dia akan jadi isu yang jauh lebih besar daripada sepatutnya," jelas Wan Saiful.

Dalam kalangan pemerhati politik, kecoh disebut bakal berlaku perubahan dalam Jemaah Kabinet termasuk dakwaan dua Ahli Parlimen daripada Bersatu akan digugurkan daripada barisan Kabinet selepas gagal menunjukkan prestasi baik dalam pengurusan bencana banjir.

Dua menteri Bersatu yang disebut-sebt bakal digugurkan ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Datuk Dr Abd Latiff Ahmad; Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Harun sementara menteri dari UMNO iaah Menteri Perpaduan, Datuk Halimah Mohamed Sadique.

Bagaimanapun, Perdana Menteri dalam reaksinya berkata, belum tiba masanya untuk membincangkan soal rombakan Kabinet ketika ini.

Sebaliknya. tegas Ismail Sabri, fokus utama kerajaan kini adalah dalam mempercepatkan bantuan kepada mangsa yang terjejas dengan bencana banjir dan tindakan lanjut berhubung situasi COVID-19.