Penyebaran Selangorkini palsu didalangi UMNO-BN, dakwa Azmin

Mariah Ahmad
November 29, 2015 14:17 MYT
AZMIN: Akhbar Selangorkini yang palsu itu dilakukan oleh UMNO. Ini adalah tindakan yang terdesak daripada UMNO dan Barisan Nasional. - Gambar fail
Kongres Nasional Tahunan Parti Keadilan Rakyat (PKR) ke-11 pada Ahad turut dicemari dengan penyebaran akhbar palsu Selangorkini kepada perwakilan.
Akhbar tersebut mengandungi laporan yang menghentam pentadbiran Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali.
Azmin dalam reaksinya segera menuduh musuh politiknya sebagai dalang pengedaran akhbar berkenaan.
"Akhbar Selangorkini yang palsu itu dilakukan oleh UMNO. Ini adalah tindakan yang terdesak daripada UMNO dan Barisan Nasional," katanya selepas menghadiri kongres berkenaan di Ideal Convention Center Shah Alam, Selangor.
Salinan yang menyamai keluaran edisi 13 hingga 20 November akhbar tersebut mencetuskan kontroversi apabila ia diedarkan di lokasi perhimpunan tahunan PKR berkenaan.
Artikel lain dalam akhbar palsu tersebut turut mempersoalkan keputusan Azmin dalam isu syarikat pelaburan negeri selangor, Darul Ehsan Investment Group (DEIG).
Antara tajuk dan kandungan laporan berita akhbar itu ialah "Peniaga Uptown Seksyen 24 Kecewa Azmin Gagal Laksana Bantuan", "Khalid Lebih Baik Daripada Azmin-Adun Dap", dan "Kenaikan tarif air melampau."
Sementara itu, Azmin yang berucap pada sesi penggulungan kongres menyeru semua pihak supaya menamatkan perselisihan sesama parti pembangkang.
Beliau pada masa sama, turut mengingatkan ahli-ahli Pakatan Harapan supaya tidak takbur.
"Jangan sombong dan jangan angkuh, jangan. Kita mesti ada sifat rendah diri dan menerima perbezaan dalam kalangan kita seharusnya menghormati rakan-rakan dalam gabungan pembangkang."
#Azmin Ali #BN #DEIG #Parti Keadilan Rakyat #PKR #UMNO