IPOH: Tindakan Ahli Parlimen Ampang Datuk Zuraida Kamaruddin menyertai Parti Bangsa Malaysia (PBM) mampu memperkukuhkan parti sekali gus mempertingkatkan keyakinan ahli akar umbi parti itu.

Ketua Wanita PBM Perak, Syarifah Hazlina Syed Musa Jamalullail berkata, ketika menjadi Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Zuraida merupakan seorang yang komited terhadap tugas dan tanggungjawab sehingga berjaya mempertingkatkan pasaran komoditi tempatan ke peringkat global.

Menurutnya, usaha berterusan beliau bagi meyakinkan pemain industri dan pengimport hasil perusahaan komoditi di bawah kementerian itu, dilihat berjaya menunjukkan peningkatan yang konsisten dalam pasaran dunia.

Katanya, usaha itu seharusnya dijadikan tanda aras keupayaan seorang menteri dalam membantu mempertingkatkan hasil negara di bawah kementerian yang diterajui mereka.

“Secara peribadi, saya melihat kesungguhan beliau mengangkat Agenda Pemerkasaan Wanita akan lebih fokus di bawah platform yang mampu membawa aspirasi yang jelas.

“Keputusan yang diambil hari ini mampu mengubah landskap kesedaran sosial dan intelektual wanita Malaysia dalam semua aspek kehidupan,” katanya dalam kenyataan di sini, malam tadi.

Syarifah Hazlina pada masa sama menyifatkan tindakan Zuraida keluar daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) adalah keputusan yang tepat.

Katanya, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mempunyai prerogatif bagi menentukan kedudukan Zuraida seterusnya di dalam barisan kabinet Keluarga Malaysia.

Terdahulu, Ahli Parlimen Ampang itu mengumumkan keputusannya meletak jawatan sebagai Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan Khamis, beliau turut mengumumkan keputusannya meninggalkan Bersatu dan menyertai PBM.

Beliau bagaimanapun, tetap menyokong Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri.