KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen pembangkang daripada Perikatan Nasional (PN) meminta agar kerajaan membetulkan naratif dan kefahaman, kononnya pakej rangsangan ekonomi dan hutang yang dilaksanakan kerajaan sebelum ini tidak berhemah.

Ahli Parlimen Bachok, Mohd Syahir Che Sulaiman berkata, tindakan kerajaan memperkenalkan pakej rangsangan ekonomi pada waktu itu adalah bertepatan bagi menjana pemulihan ekonomi, serta Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS).

Penolong Setiausaha Agung Pas itu menambah, malah pihak pembangkang ketika itu turut menggesa kerajaan untuk menambah suntikan dana yang disediakan dalam pakej rangsangan ekonomi berkenaan.

"Saya mohon kita perbetulkan naratif dan kefahaman kita, kononnya pakej rangsangan ekonomi dan hutang yang diambil sebelum ini adalah tidak berhemah.

"Saya terbaca satu laporan berita Astro AWANI pada 20 Ogos 2020, tajuknya, 'Kerajaan jangan kedekut, gandakan suntikan dana RM45 bilion, bantu rakyat'- Lim Guan Eng.

"Beliau (Guan Eng dalam laporan berkenaan) berkata, jumlah suntikan dana berjumlah RM90 bilion dengan tambahan RM45 bilion bukanlah terlalu besar, berbanding dengan pakej rangsangan Singapura yang berjumlah $108 bilion Singapura.

"Yang keduanya, kenyataan media Datuk Seri Anwar Ibrahim, 'Suntikan harus digandakan, 21 Ogos (oleh) Ketua Pembangkang'- menyebut 'Maka, saya (Anwar) menggesa untuk mempertimbang membawa pindaan dalam peringkat jawatankuasa ke atas Rang Undang-Undang (RUU) Langkah-langkah Sementara bagi Pembiayaan Kerajaan Penyakit Coronavirus 2019 dengan menambah sebanyak RM45 bilion lagi menjadikan suntikan fiskal berjumlah RM90 bilion secara keseluruhan.

"Jadi, saya (Mohd Syahir) sangat setuju dengan apa yang dibangkitkan oleh Paya Besar, bahawa kita kena sedar usaha pemulihan PKS dan ekonomi melalui pakej rangsangan ekonomi adalah sangat penting dan tindakan yang dibuat kerajaan terdahulu adalah bertepatan," katanya di Dewan Rakyat pada Rabu.

Beliau berkata demikian ketika sesi Perbahasan Belanjawan 2023 Peringkat Jawatankuasa bagi Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), di sini.

Sejak negara berdepan COVID-19 pada 2020, Kerajaan PN di bawah pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin antaranya memperkenalkan lapan pakej rangsangan dengan nilai keseluruhan pakej RM530 bilion.

Selain itu, Menteri Kewangan ketika itu, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz turut memaklumkan kerajaan memperuntukkan suntikan fiskal berjumlah RM83 bilion untuk membiayai lapan pakej rangsangan ekonomi termasuk Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH).

Ia antaranya, merangkumi suntikan fiskal kerajaan bernilai RM38 bilion pada 2020, manakala baki RM45 bilion lagi untuk tahun 2021.

Pada 17 September 2021 pula, Anwar yang ketika itu Ketua Pembangkang menggesa kerajaan mempercepatkan suntikan RM45 bilion seperti mana yang terkandung dalam Memorandum persefahaman (MoU) kerajaan-Pakatan Harapan bagi mengurangkan beban sara hidup golongan berpendapatan rendah dan sederhana sepanjang pandemik COVID-19.