KUALA LUMPUR: Dakwaan pergolakan politik yang berlaku di Sabah ketika ini tidak akan menggugat kestabilan Kerajaan Perpaduan, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Perdana Menteri berkata, apa yang berlaku di Sabah hanya lah percubaan kecil, dan perkara tersebut diyakini boleh diselesaikan.

Jelas Anwar lagi, Pakatan Harapan (PH) juga sedia bergerak bersama dan lebih berminat untuk mempertahankan kestabilan sedia ada.

"Oleh demikian, saya ingat keadaan boleh dileraikan dengan baik, dan dalam perbincangan dengan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor, Datuk Seri Bung Moktar Radin, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, dan saya kata jalan terbaik adalah berbincang.

"Dalam keadaan politik yang kurang stabil itu, berbincang dengan baik dan cari penyelesaian yang baik.

"Tetapi ini tidak boleh digambarkan keadaan di Persekutuan, kerana ia tidak sikit pun merubah. Setakat ini kita doakan semoga Allah S.W.T merestui usaha kita, dan setakat ini tidak ada sedikit pun bayangan (menjatuhkan kerajaan) melainkan yang disuarakan oleh pembangkang," katanya dalam rancangan Naratif Khas yang disiarkan di RTM pada Khamis malam.

Mengulas lanjut, Anwar yang juga Ahli Parlimen Tambun berkata senario yang berlaku ketika kejatuhan Kerajaan PH dan Tun Dr Mahathir Mohamad berpunca kerana wujud pengkhianatan oleh 'pihak dalaman'.

"Jadi pengkhianat itu, nasib baik semua tokoh besar mereka kecundang, dan kalau pun yang kekal itu pun kecundang dari segi usaha mereka untuk mendapatkan tempat memimpin negara ini," ujar Perdana Menteri.

Anwar berkata penolakan boleh dilakukan sekiranya kerajaan yang dipimpinnya bertentangan dengan semangat Perlembagaan Persekutuan.

Malah, beliau akui barisan Kabinetnya masih tidak sempurna susulan terdapat kenyataan-kenyataan yang dikeluarkan, menimbulkan sedikit kerisauan dalam kalangan rakyat.

"Percaya lah, saya tidak sanggup menjadi Perdana Menteri dan memimpin negara ini kalau saya izinkan pemungahan kekayaan, curi sana curi sini, seperti yang berlaku dulu," ujar beliau.