KUALA LUMPUR : Siasatan yang masih belum berjalan sepenuhnya terhadap Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki  seolah-olah menggambarkan institusi penguatkuasa di negara ini telah rosak angkara pihak atasan yang didakwa memonopoli kuasa.

Dakwa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ketari, Young Syefura Othman, sebaliknya apa yang berlaku adalah polis lebih menumpukan siasatan terhadap peserta perhimpunan yang berhimpun secara aman.

“Polis umumkan lebih 50 individu akan dipanggil kerana menyertai perhimpunan yang aman dimana tiada sebarang kesalahan yang dilakukan.

“Namun begitu hanya satu individu yang masih lagi bebas (Azam Baki) dan tidak dipanggil polis apatah lagi respons daripada mana-mana pihak termasuk Perdana Menteri.

“Keadaan ini menunjukkan institusi kita telah rosak dan jahanam disebabkan mereka yang di atas,” dakwanya ketika sidang media di perkarangan Ibu Pejabat Polis Daerah Brickfileds pada Jumaat.

Terdahulu, ADUN Ketari itu hadir ke IPD Brickfileds bagi memberikan keterangan berhubung penglibatannya terhadap himpunan #TangkapAzamBaki pada Sabtu lalu di sekitar ibu kota.

Turut hadir memberikan keterangan, Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok yang turut mempertikai siasatan yang dijalankan terhadapnya berbanding individu yang terlibat.

Pada Sabtu, beberapa kumpulan, termasuk dari parti politik menyertai Perhimpunan #TangkapAzamBaki di beberapa lokasi di sekitar ibu negara.

Perhimpunan itu diadakan bagi mendesak agar proses undang-undang ke atas Azam Baki bermula dengan segera, serta menggesa rombakan SPRM dibuat dan seterusnya diletakkan di bawah Parlimen.