PAGOH: Perjanjian permuafakatan antara gabungan parti politik yang dimeterai semalam, membuktikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak yakin mampu meraih sokongan majoriti Ahli Parlimen dalam sidang khas Dewan Rakyat yang akan berlangsung 19 Disember ini.

Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, perjanjian yang turut memaksa Ahli Parlimen mengosongkan kerusi sekiranya tidak menyokong Perdana Menteri dalam apa-apa usul juga, tidak pernah dilihat dalam mana-mana bentuk persefahaman atau undang-undang sebelum ini.

“Saya tidak pernah lihat dalam mana-mana undang-undang perkara seperti itu dilaksanakan kecuali yang berkaitan dengan akta lompat parti yang mana kalau tidak sokong mesti gugurkan kedudukan dia sebagai Ahli Parlimen.

“Jadi saya lihat macam Perdana Menteri tidak berapa yakin usul percaya itu boleh diteruskan (kerana) sepatutnya ada asas kepercayaan kepimpinan parti untuk sokong, tetapi tidak adalah menyokong (sehingga) seberat itu.

“Saya fikir Ahli Parlimen sepatutnya tidak terasa dipaksa, ini tidak boleh dipaksa walaupun mereka dalam gabungan itu ada sefahaman,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Kesyukuran PN Parlimen Pagoh di Kompleks Sukan pagoh, di sini pada Sabtu.

Politik | Perjanjian permuafakatan bukti PM tidak yakin - Muhyiddin


BACA: Ahli Parlimen tak sokong usul PM dan Kerajaan, perlu kosongkan kerusi


[TERKINI] Majlis Menandatangani Permuafakatan Gabungan Kerajaan Perpaduan


Pada Jumaat, empat gabungan politik menyatakan komitmen menyokong Kerajaan Perpaduan Malaysia di bawah pimpinan Anwar bagi mengelakkan ketidaktentuan politik pada masa depan.

PANTAU KERAJAAN BAHARU DI SINI!

Majlis Menandatangani Perjanjian (MoU) Permuafakatan Antara Gabungan di bawah Kerajaan Perpaduan ditandatangani oleh Setiausaha Agung gabungan politik, iaitu Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail (Pakatan Harapan), Datuk Seri Zambry Abdul Kadir (Barisan Nasional) Datuk Loretto S Padua Jr (Warisan), Datuk Seri Alexander Nanta Linggi (Gabungan Parti Sarawak/GPS) dan Datuk Seri Marsidi Manjun (Gabungan Rakyat Sabah/GRS).

Perjanjian kerjasama itu turut ditandatangani ketua gabungan, iaitu Anwar (PH), Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal; Pengerusi GPS, Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan Pengerusi GRS, Datuk Seri Hajiji Noor.

Antara perkara yang turut digariskan dalam dokumen perjanjian persefahaman itu adalah Ahli Parlimen di bawah Kerajaan Perpaduan Malaysia, yang tidak menyokong Perdana Menteri dalam apa-apa usul berkait usul percaya, pembekalan, atau apa-apa usul berbentuk prosedur, perlu mengosongkan kerusinya serta-merta.

Mengulas lanjut ujar Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh, beliau telah mendengar pandangan daripada kumpulan peguam dan mendakwa MoU yang dimeterai semalam adalah tidak berperlembagaan.

“Saya diberitahu oleh sebahagian pendapat yang mana MoU semalam itu mungkin dari sudut undang-undang dikatakan tidak berperlembagaan, tidak berperaturan serta melanggar undang-undang (kerana) Ahli Parlimen ada hak kebebasan mereka dan itu ada dalam undang-undang.

“Maknanya kalau dia nak sokong, dia sokong lah dan kalau tidak pun ianya (jawatan) tidak tergugur. Kalau parti nak ambil tindakan disiplin itu soal lain, tetapi tidak perlu sehingga  harus berhenti atau mengosongkan kerusi,” tambahnya.

Dalam pada itu katanya, gabungan PN juga akan bermesyuarat pada esok untuk membincangkan pendirian berhubung usul undi percaya yang akan berlangsung pada sidang khas 19 Disember ini.

“Kita (Ahli Parlimen PN) akan berada di Parlimen dan kita ada mesyuarat pada sebelah petang esok untuk putuskan pendirian. (Tetapi) saya fikir sebahagian kita atau semuanya mungkin tidak akan menyokong kedudukan PM, saya tidak boleh sebut lagi, tetapi (perkara) ini  akan dibincang dalam mesyuarat esok,” katanya.