KIMANIS: Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyeru agar Barisan Nasional (BN) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) mengukuhkan solidariti bagi memastikan kemenangan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menegaskan, tiada guna untuk bertanding dengan jumlah kerusi yang banyak dan bertembung sesama sendiri kerana pada akhirnya ia membawa kepada kekalahan. 

"Kita masuk bertanding tujuannya satu sahaja iaitu untuk menang di dalam setiap kerusi yang kita pertandingkan. Ini 'nawaitu' (niat) kita bertanding dalam pilihan raya.

"Dalam pilihan raya yang penting bukan berapa banyak kerusi yang kita bertanding, tetapi berapa banyak kerusi yang kita boleh menang.

"Kita boleh bertanding semua kerusi yang ada di Sabah, 25 kerusi Parlimen. Kita bertembung sesama kita (BN dan GRS) dan akhirnya yang dikejar tak dapat yang dikendong berciciran. Akhirnya kita kalah dan menjadi pembangkang," katanya di sini pada Ahad.

Perdana Menteri berucap dalam program Gelombang Biru Barisan Nasional (BN) Zon 3 di sini, yang dirasmikan oleh Pengerusi BN Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Ikuti semua perkembangan mengenai PRU15 DI SINI!

Berucap lanjut, Ismail Sabri turut memberi jaminan bahawa peruntukan pembangunan sebanyak RM6.3 bilion kepada Sabah menerusi Bajet 2023yang dibentangkan baru-baru ini akan diteruskan.

Begitu pun tegas Perdana Menteri, perkara itu hanya boleh dilaksanakan sekiranya pengundi di Sabah memberikan sokongan bagi menentukan kemenangan BN dan GRS dalam PRU15 ini.

"Kuasa terletak kepada rakyat pada 19 November ini untuk menentukan, sama ada Bajet dapat dibentang atau dirombak orang lain.

"Bajet yang baik untuk rakyat ini harus dilaksanakan dan ia hanya boleh direalisasikan dengan mengundi BN. Kita akan teruskan dengan pembentangan Bajet yang sama, kita luluskan demi kepentingan rakyat," katanya lagi.

Dalam masa yang sama, Perdana Menteri turut menafikan dakwaan bahawa wujud dua kem dalam UMNO yang digelar sebagai 'Kluster Putrajaya' dan 'Kluster PWTC'.

"Kononnya ada Kluster Putrajaya diketuai oleh saya dan Kluster PWTC diketuai Presiden (Ahmad Zahid).

"Yakinlah tiada Kluster Putrajaya dan PWTC, yang ada Kluster UMNO yang dipimpin oleh Presiden," katanya.