Peruntukan DUN, Parlimen Kelantan disalur terus kepada wakil rakyat bermula 2021

Muhafandi Muhamad
Disember 17, 2020 01:09 MYT
Bermula tahun depan, semua peruntukan bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) serta parlimen kelantan akan disalurkan terus kepada wakil rakyatnya. -Astro AWANI/Muhafandi Muhamad
KOTA BHARU: Bermula tahun depan, semua peruntukan bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) serta Parlimen Kelantan akan disalurkan terus kepada wakil rakyatnya.
Menurut Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah, keputusan itu sebagai solidariti hubungan Muafakat Nasional (MN) dan Perikatan Nasional (PN) yang dijalinkan UMNO, Pas dan Bersatu.
Sebelum ini peruntukan berkenaan disalurkan kepada penyelia kawasan.
“Kita nak mengukuhkan hubungan dalam MN dan PN sebab sebelum ini peruntukan kerajaan negeri kita salur melalui penyelia, kita tak bagi kepada wakil rakyat.
“Wakil rakyat UMNO dan Bersatu tak dapat semua diuruskan oleh penyelia. Sekarang ini kita serahkan kepada wakil rakyat sebagai tanda kerjasama politik,” katanya.
Susulan itu, jawatan penyelia DUN dan Parlimen di kawasan UMNO dan Bersatu akan dimansuhkan.
Katanya sejak sekian lama, kerajaan Kelantan melantik penyelia DUN dan Parlimen di kawasan yang dimenangi UMNO bagi menguruskan peruntukan pembangunan, pendidikan yang disalurkan kerajaan negeri.
Untuk rekod, terdapat lima Parlimen dan 8 DUN di Kelantan tidak diwakili oleh wakil rakyat dari Pas.
#Kelantan #peruntukan #wakil rakyat #penyelia #Mohd Amar Nik Abdullah #UMNO