Pakatan Harapan (PH) hari ini menamakan semula Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai calon Perdana Menteri ke-8.

Perkara itu dimaklumkan dalam satu kenyataan yang menolak sebarang usaha menubuhkan kerajaan melalui ‘pintu belakang.’

“Pakatan Harapan bertegas menentang sebarang usaha ‘kerajaan pintu belakang’ terutama yang melibatkan kleptokrat dan pengkhianat perjuangan yang akan merosakkan segala usaha reformasi yang telah dilaksana hingga kini.

“Oleh itu, demi mempertahan perjuangan, Pakatan Harapan menyatakan sokongan penuh terhadap YAB Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai calon Perdana Menteri,” tulis kenyataan itu.

Rabu lalu, PH telah mencalonkan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri susulan keengganan Dr Mahathir hadir mesyuarat yang diadakan.

Setakat ini, senario politik negara masih belum menunjukkan tanda akan reda di sebalik teka teki pelantikan perdana menteri masih menjadi tanda tanya.