MELAKA: Pakatan Harapan (PH) Melaka tidak merancang untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dalam masa terdekat.

Pengerusinya Adly Zahari berkata, fokus utama gabungan itu adalah untuk membawa isu pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) ke mahkamah.

“Fokus PH kini adalah untuk membawa pembubaran DUN ke mahkamah bagi mempertikai proses dan fakta pembubaran termasuk menghormati Perkara 19(2) Perlembagaan Negeri.

“Setakat ini memang PH negeri tiada perancangan untuk menghadap Agong,” katanya dalam kenyataan di sini.

Semalam, Astro AWANI melaporkan bekas Ahli DUN (ADUN) Pengkalan Batu Datuk Norhizam Hassan Baktee memaklumkan, kesemua 15 ADUN yang mendakwa mempunyai majoriti cukup untuk membentuk kerajaan negeri akan mengadakan pertemuan menghadap Yang di-Pertuan Agong.

Katanya, pertemuan itu ekoran ketidakpuasan hati terhadap keputusan Yang Dipertua Negeri Tun Mohd Ali Mohd Rustam membubarkan DUN selepas mendapat nasihat Ketua Menteri Datuk Seri Sulaiman Md Ali.


 
Sumber Facebook AdlyZahariOfficial

Terdahulu hari ini, wakil rakyat DAP Low Chee Leong yang juga bekas ADUN Kota Laksamana bagaimana memaklumkan, kenyataan dibuat Norhizam bersifat dangkal memandangkan perkara itu tidak pernah dibincangkan bersama pimpinan PH negeri.

Pada Selasa, Sulaiman mengambil langkah membubarkan DUN mulai 4 Okt, dalam usaha menyelesaikan kemelut politik di negeri itu. 

Berdasarkan Perkara 19 (4) Perlembagaan Negeri Melaka, apabila DUN dibubarkan, satu pilihan raya umum hendaklah diadakan dalam tempoh 60 hari.