KUALA LUMPUR : Pakatan Harapan (PH) Sabah mengemukakan tujuh perkara dalam Agenda Reformasi negeri itu kepada Ketua Menterinya, Datuk Seri Hajiji Noor pada Isnin.

Antara tujuh perkara yang dikemukakan itu termasuk autonomi Sabah dan pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), tadbir urus menangani pandemik COVID-19 serta pelan pemulihan ekonomi negeri.

"Selain itu, reformasi pendtadbiran dan politik, reformasi Dewan Undangan Negeri, tadbir urus orang asal Sabah dan tadbir urus keselamatan," menurut kenyataan bersama itu.

Tambahnya PH Sabah turut mengemukakan syor-syor berkaitan belanjawan pemulihan ekonomi untuk diambil kira dalam belanjawan negeri itu bagi tahun 2022 yang akan dibentangkan pada 3 Disember 2021.

"Agenda ini juga termasuk reformasi-reformasi yang perlu dilaksanakan di Dewan Undangan Negeri Sabah bagi membolehkan tadbir urus demokrasi yang lebih progresif serta semak dan imbang yang lebih berkesan.

"PH Sabah berpendapat bahawa Agenda Reformasi Sabah adalah sesuatu yang sudah lama tertangguh (long overdue) dan seharusnya menjadi agenda bersama kesemua parti politik dan penggubal undang-undang samada di blok kerajaan mahupun pembangkang," jelas kenyataan itu.

Pihaknya dalam masa sama turut mengalu-alukan komitmen dan jaminan Hajiji untuk berbincang dengan parti gabungan di peringkat kerajaan untuk menjayakan agenda tersebut.

"PH Sabah juga ingin menegaskan bahawa Agenda Reformasi Sabah ini bukan Memorandum Persefahaman (MoU) seperti dilaksanakan di peringkat Kerajaan Persekutuan, tetapi syor konsensus agar semua parti di Sabah bekerjasama memastikan hak rakyat Sabah diperjuangkan dengan sebaik-baiknya terutama menuntut pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963," katanya.

Kenyataan bersama PH Sabah ini dikeluarkan menerusi Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) negeri, Christina Liew; Pengerusi DAP, Poo Ming Fung; Pengerusi AMANAH, Lahirul Latigu dan Presiden UPKO, Wilfred Madius Tangau.