PH sedia berunding, bincang dengan mana-mana parti untuk kerjasama dalam PRU15

Bernama
April 22, 2022 15:40 MYT
Saifuddin Nasution berkata pendekatan itu merupakan pendirian PH sebagaimana yang dicapai menerusi pemukiman pimpinan PH di Port Dickson pada tahun lepas. - Gambar fail/BERNAMA
JOHOR BAHRU: Pakatan Harapan (PH) bersedia untuk berunding dan berbincang dengan mana-mana parti politik untuk bekerjasama dalam menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15, kata Setiausaha Agung PH Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.
Beliau yang juga Setiausaha Agung PKR berkata pendekatan itu merupakan pendirian PH sebagaimana yang dicapai menerusi pemukiman pimpinan PH di Port Dickson pada tahun lepas.
"PH bersedia untuk membawa pendekatan berunding dengan semua, andai kata kekuatan PH tidak memungkinkan lagi untuk mengalahkan parti pemerintah.
"Jadi penegasannya, pendekatan (PH) adalah berunding dan berbincang.. dengan siapa itu adalah terbuka.. itu adalah ayat asal dalam resolusi PH," katanya pada sidang media, di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kenyataan Timbalan Presiden Parti Amanah Negara Datuk Seri Salahuddin Ayub yang menggesa kepimpinan PH untuk tidak terus menutup ruang perbincangan bersama semua parti politik blok pembangkang menjelang PRU15.
Salahuddin berkata perbincangan itu termasuklah perbincangan bersama Bersatu dan PAS.
-- BERNAMA
#Pakatan Harapan #PH #kerjasama #PRU15 #pilihan raya umum #Saifuddin Nasution Ismail