KUALA LUMPUR: Pakatan Harapan (PH) tidak mengetepikan permohonan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) untuk menyertai gabungan itu biarpun terdapat sentimen penolakan dalam PKR.

Pengerusinya, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pihaknya akan mengadakan perbincangan secara teliti berhubung implikasi mengenai parti-parti yang mahu bekerjasama dengan gabungan itu termasuk MUDA.

"Kita ambil pandangan semua, kena bincang teliti implikasinya. Sesiapa juga yang bersama dengan PH, dia kena ada prinsip utama yang diterima, ada perimeter jelas harus diterima pakai.

"Tetapi kita harus beri ruang untuk berbincang dengan baik," katanya ketika ditemui selepas sesi Dialog Pentas Interaksi Anak Muda Bersama Datuk Seri Anwar Ibrahim, hari ini.

Selasa lalu, Presiden MUDA, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata parti itu sudah menyatakan hasrat untuk menyertai PH bagi menghadapi pilihan raya umum akan datang.

Namun, Ketua Angkatan Muda PKR, Adam Adli Abdul Halim menegaskan tiada jalan mudah untuk MUDA menyertai PH.

Dalam pada itu, Anwar berpendapat penjadualan semula Bajet 2023 dari tarikh asal menunjukkan Pilihan Raya Umum (PRU) sudah semakin hampir dan PH menjangkakan ia bakal berlaku penghujung Oktober atau awal November.

"Kemungkinan itu ada sebab dipercepatkan. Cuma saya telah beritahu bahawa seorang perdana menteri tidak boleh menetapkan pilihan raya atas dasar ugutan oleh pihak kecil dan kepentingan mereka untuk menutup kes mahkamah dan sebagainya.

"Kita dalam Keadilan (PKR) umpamanya ada jentera pilihan raya yang sudah dikerahkan dan dalam PH pun kita telah mulakan rundingan. Banyak kejayaan dari segi pembahagian kerusi dan strategi bersama," ujarnya.

PH tambahnya, akan meneliti Bajet 2023 yang akan dibentangkan kerajaan pada 7 Oktober ini menerusi Mesyuarat Majlis Presiden dalam tempoh terdekat.

"Perbincangan itu adalah di saat akhir kerana bila dimajukan, diawalkan tarikh belanjawan, masa itu belum ada perbincangan. Jadi, kita tetap dengan pendirian kita belanjawan harus bertanggungjawab, ambil kira masalah rakyat dan perubahan struktur harus berlaku.

"Kita tegas dengan prinsip tatakelola kerajaan. Masalahnya ialah, kita umumkan projek-projek... semua menteri-menteri ini dia ketagih macam-macam projek, tapi tidak ada ketelusan... jadi, ini juga harus kita tekankan," dakwanya.