SUNGAI PETANI: Pakatan Harapan (PH) malam tadi mengumumkan senarai calonnya yang akan bertanding di 14 kerusi Parlimen di Kedah pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), 19 Nov ini.

Pengumuman dibuat oleh Ketua Penerangan PH Kedah Datuk Dr Ismail Salleh pada Majlis Pengisytiharan Calon PH Kedah di sini yang turut mengumumkan sembilan calon daripada PKR yang telah diumumkan pada Jumaat.

Lima lagi kerusi yang diumumkan malam tadi ditandingi oleh empat calon daripada Amanah dan seorang calon DAP.

Bagaimanapun gabungan itu tidak mengumumkan nama calon bagi satu lagi kerusi di negeri itu iaitu Langkawi.

Empat calon daripada Amanah ialah Muaz Abdullah (Padang Terap), Datuk Mahfuz Omar (Pokok Sena), Datuk Latipah Mohamad Yatim (Sik) dan Johari Abdullah, (Baling) sementara Zulhazmi Shariff daripada DAP dicalonkan untuk bertanding di Jerai.

Pengerusi PH Kedah Datuk Mahfuz Omar ketika ditemui pemberita selepas majlis itu berkata calon PH bagi kerusi Langkawi akan diputuskan kemudian dan enggan mengulas sebab calon bagi kerusi itu tidak diumum malam tadi.

"Kita akan maklumkan nanti, sebelum penamaan calon nanti," katanya.

Mengulas mengenai senarai calon PH di Kedah, Mahfuz berkata PH yakin dengan kehadiran muka baharu serta individu yang mempunyai pelbagai latar belakang akan mampu membawa sesuatu yang baharu kepada masa depan Malaysia.

Berikut adalah senarai calon PH bagi 14 kerusi Parlimen di Kedah:

1. Jerlun - Dr Mohamed Fadzil Mohd Ali

2. Kubang Pasu - Aizuddin Ariffin

3. Padang Terap - Muaz Abdullah

4. Pokok Sena - Datuk Mahfuz Omar

5. Alor Setar - Simon Ooi Tze Min

6. Kuala Kedah - Dr Azman Ismail

7. Pendang - Datuk Zulkifly Mohamad

8. Jerai - Zulhazmi Shariff

9. Merbok - Nor Azrina Surip

10. Sik - Datuk Latipah Mohamad Yatim

11. Sungai Petani - Dr Mohammed Taufiq Johari

12. Baling - Johari Abdullah

13. Padang Serai - M Karupaiya

14. Kulim Bandar Baharu - Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail



-- BERNAMA