SHAH ALAM: Memilih pemimpin yang tidak berintegriti dan mengamalkan rasuah merupakan suatu bentuk perbuatan khianat yang akan menghancurkan negara serta dunia.

Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, pemimpin yang tidak berintegriti akan menguasai ekonomi negara lalu menggunakannya bagi merosakkan politik, urusan pentadbiran dan kehakiman.

"Malah, mereka juga golongan yang paling besar merosakkan politik dan ekonomi negara, majoritinya daripada kalangan bukan Islam dan bukan bumiputera.

"Islam mendidik para penganutnya bahawa harta haram itu bukan sahaja berdosa kepada semua yang digunakan olehnya, sehinggakan menjadi umpan neraka yang membakar dirinya.

"Selain itu, harta haram juga tidak membawa apa-apa berkat, satu perkataan yang tiada dalam kamus bahasa lain selain daripada bahasa al-Quran," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Menurutnya, sifat integriti itu hanya terdapat dalam kalangan mereka yang beriman serta budiman dan bukan hanya sekadar mempunyai ilmu sahaja.

"Semua ciri-ciri itu tidak berupaya kerana dipenuhi oleh ideologi ciptaan manusia yang tidak kebal dalam menghadapi penyakit seperti rasuah.

"Semua pihak yang ada kaitan dengan penyelewengan rasuah adalah berdosa besar. Bukan sahaja penerima rasuah termasuklah pemberi rasuah yang memulakannya juga berdosa besar dan bersalah.

"Bahkan, semua pihak yang mempunyai kaitan dengan perbuatan tersebut turut bersalah dan sama-sama berdosa besar. Oleh itu, sepatutnya semua golongan yang terlibat dengan rasuah mestilah dihapuskan," ujarnya.

Beliau berkata, usaha menangani rasuah wajib dilakukan secara holistik supaya tidak menjadi wabak apabila diambil tindakan yang tidak menyeluruh sehingga ke akar umbinya.

"Tindakan ini perlu diambil terhadap mereka yang menjadi punca rasuah kerana mengejar harta secara haram.

"Tiada kebaikan dunia bagi diri, keluarga, masyarakat dan negara yang tersentuh dengannya (rasuah), hanya sekadar menjadi hiasan dan pemuas nafsu.

"Selepas itu, hanya menjadi sampah, besi buruk yang hancur lebur, atau menjadi najis daripada isi perut yang menjadikan jasadnya lebih hina daripada najis itu.

"Kelak, di akhirat juga menjadi bahan bakar api neraka yang membakar diri sekiranya tidak bertaubat atau tidak dihukum dengan adil ketika hidup di alam dunia," katanya. -Sinar Harian