Parti Keadilan Rakyat (PKR) menggesa kerajaan UMNO-BN untuk menjelaskan sama ada ia merestui Rang Undang-Undang (RUU) Persendirian yang merujuk kepada Enakmen Jenayah Syariah II Kelantan 1993 (pindaan 2015) atau hukum hudud untuk dibahas dan diundi di Parlimen.

Parti itu dalam kenyataan rasminya hari ini menyebut bahawa mengikut Peraturan Tetap Dewan Rakyat, sebarang RUU hanya akan dibahaskan dengan restu pihak kerajaan.

“Hakikatnya, tidak ada seorang pimpinan tertinggi UMNO atau Barisan Nasional pun yang telah membuat kenyataan terbuka dan jelas mengenai pendirian mereka berkenaan RUU Persendirian tersebut untuk dibawa ke Parlimen,” kata kenyataan itu.

Ia merujuk kepada notis oleh Ahli Parlimen Marang yang juga Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang kepada Setiausaha Dewan Rakyat pada 18 Mac lalu.

Menurut kenyataan itu lagi, Biro Politik PKR telah bermesyuarat pada 20 Mac 2015 bagi membincangkan secara khusus cadangan RUU Persendirian PAS.

Mesyuarat itu adalah sebagai lanjutan daripada Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan yang telah meluluskan Enakmen Jenayah Syariah II Kelantan 1993 (pindaan 2015) atau hukum hudud.

“Dalam mesyuarat tersebut, PKR membuat ketetapan tidak boleh menyokong RUU Persendirian tersebut kerana kami tidak dimaklumkan tentang isi kandungannya.

“Ia dicadangkan secara unilateral iaitu tanpa pemberitahuan kepada rakan-rakan parti komponen Pakatan Rakyat dan bercanggah dengan keputusan Mesyuarat Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat pada 8 Februari 2015,” kata kenyataan itu.

PKR menyatakan parti itu tetap dengan pendirian asal iaitu untuk tidak menyokong berdasarkan prinsip Fiqh Al-Awlawiyyat, Maslahat Ummah dan Maqasid Syariah.

Kenyataan itu ditandatangani Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Timbalan Presiden Mohamed Azmin Ali, barisan Naib Presiden PKR, serta Ketua Wanita dan Angkatan Muda Keadilan (AMK).