KUALA LUMPUR: Tidak timbul soal sama ada Datuk Seri Anwar Ibrahim perlu ditukar atau Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Pakatan Harapan (PH) memerlukan kepimpinan baharu.

Sebaliknya, calon Timbalan Presiden PKR, Mohd Rafizi Ramli menegaskan, apa yang lebih penting ialah barisan kepimpinan yang baik untuk membantu Anwar.

Menurut Mohd Rafizi, Anwar memerlukan barisan pemimpin yang boleh memberikan nasihat dan pandangan yang bersesuaian dengan keadaan semasa.

"Ia bukan soal figura, sebaliknya, ia merupakan soal gagasan, soal idea dan kumpulan yang menggariskan segala bentuk kekuatan dan kepakaran.

"Jadi tidak timbul soal sama ada Anwar perlu ditukar atau perlu kepimpinan baharu tetapi yang (mencetus) masalah kalau kita ada seorang pengurus pasukan bola sepak yang baik tetapi pertahanan, penyerang atau tengah tidak baik, letaklah pengurus baik yang mana (pun) tidak akan menang.

"Anwar dengan umurnya sekarang perlu barisan pimpinan yang betul-betul yang buat kerja dan boleh beri input dan nasihat yang betul supaya keputusan bersama yang dibuat itu tidak dipengaruhi jalan pintas atau kadang-kadang sesuatu yang secara logiknya mustahil boleh berlaku.

"Sebab itu kita perlu kembali kepada rakyat melihat barisan Pakatan Harapan, citra dan pembawaan yang benar-benar mencerminkan hasrat rakyat iaitu menjaguhi setiap isu yang dibawa," kata Mohd Rafizi ketika berhujah dalam debat Berani Semuka: Siapa Layak Bersama Anwar? dua calon Timbalan Presiden PKR di Sinar Harian pada Rabu.

Mengulas mengenai tugas seorang Timbalan Presiden, Mohd Rafizi menjelaskan, orang nombor dua parti perlu memainkan peranan yang lebih agresif bukan hanya menyatakan kesetiaan kepada Presiden semata-mata.

Bahkan, kata beliau, seorang Timbalan Presiden juga perlu mempunyai gagasan dan wawasan yang boleh membantu parti memenangi hai pengundi terutama golongan muda.

"Tugas dan peranan seorang Timbalan Presiden PKR bukan lah semata-mata melaksanakan apa yang dinyatakan oleh Presiden.

"Kalau semua perkara Presiden kena turun padang, semua perkara Presiden kena fikir, Presiden kena kempen tetapi timbalan hanya di belakang dan menyatakan kesetiaan… itu tidak betul.

"Sebenarnya, Presiden memerlukan seorang timbalan yang tangkas, yang lebih kreatif, yang lebih agresif berkempen tambah lagi sebahagian besar pengundi adalah pengundi muda.

"Jadi perbezaan di antara kematangan Datuk Seri Anwar dan juga ketangkasan seorang pemimpin yang lebih muda dapat memberi keyakikan kepada pengundi terhadap kepimpinan Pakatan Harapan dan PKR.

"Ia bukan hanya mencerminkan kematangan tetapi turut membawa idea dan kreativiti zaman ini," katanya lagi.

Dalam masa sama, Mohd Rafizi juga yakin PH mampu menjadi blok parti terbesar selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) sekiranya parti itu berjaya membuktikan keikhlasan perjuangan mereka kepada rakyat.

Kata Mohd Rafizi, parti itu juga perlu yakin kepada rakyat yang tidak bodoh untuk menilai apa yang diperjuangkan oleh mana-mana parti politik.

"Dalam tempoh empat lima bulan dalam setahun ini, kalau kita betul-betul ikhlas dan tunjuk kita sedar kesilapan kita dan memberi isyarat yang jelas bahawa kita tidak pentingkan kedudukan, Insya-Allah PH akan jadi blok terbesar selepas selepas pilihan raya umum akan datang," ujar Mohd Rafizi penuh optimis.

Mohd Rafizi akan bersaing dengan Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dalam merebut jawatan nombor dua PKR dalam pemilihan parti yang diadakan bermula 13 hingga 18 Mei ini.