KUALA LUMPUR: Bekas Ketua Pembangkang Melaka, Adly Zahari hari ini memohon Pemangku Yang di-Pertuan Agong, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah untuk campur tangan dalam urusan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka.

Menerusi warkah yang disampaikan kepada wakil Istana Negara, beliau berkata, berdasarkan Perkara 8.2 (b) Perlembagaan Negeri Melaka, Yang di-Pertua Negeri Tun Mohd Ali Mohd Rustam tidak mempunyai budi bicara bagi membubarkan DUN ke-14.

Mendakwa beliau mewakili 15 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Adly berkata, tindakan Mohd Ali itu sewajarnya perlu dielakkan atas beberapa faktor termasuk Melaka masih berada dalam tahap pemulihan dari COVID-19 dan proses penentuan Ketua Menteri yang baharu tidak sepatutnya tergesa-gesa.

“Oleh yang demikian, patik bersama kesemua 15 mantan Ahli DUN dengan rendah hati dan seikhlasnya merayu dan memohon ihsan dan kebijaksanaan Duli Tuanku, agar selaras dengan prinsip undang-undang yang diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan (Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin v Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir; Attorney-General Intervener [2010] 2 CLJ 295..

“..TYT Yang di-Pertua dinasihati untuk menimbang semula persetujuan ke atas Ketua Menteri (Datuk Seri Sulaiman Md Ali) bagi membubarkan DUN,” menurut warkah itu lagi.

Terdahulu, ADUN Pengkalan Batu, Datuk Norhizam Hassan Baktee mewakili 15 ADUN Melaka, termasuk Adly, menyampaikan warkah tersebut kepada wakil Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara, hari ini.

Dalam pada itu, Adly dalam warkah tersebut berkata, mereka berpendapat, rasional permintaan Sulaiman untuk membubarkan DUN adalah bersandarkan hasranyat untuk terus berpaut kepada kuasa dan kedudukan, melalui pengisytiharan darurat.

Selain itu beliau berkata, tindakan Mohd Ali untuk mempersetujui permintaan Sulaiman bagi penggantungan DUN, akan membolehkan penggantungan DUN, menginjak konsep semak dan imbang serta merampas suara rakyat.

Hasrat langkah darurat juga, tegasnya lagi, akan membatalkan struktur asas Perlembagaan Persekutuan dan prinsip pengagihan kuasa yang menjadi tonggak Perlembagaan tersebut.

“Bersesuaian dengan sumpah menjunjung Perlembagaan yang dilafazkan kesemua 15 mantan ADUN, patik sekalian berpegang teguh kepada Perlembagaan dan melaksanakan tugas dengan penuh kesetiaan, di samping memelihara, melindungi, dan mempertahankan Perlembagaan.

“Sehubungan ini, patik sekalian merayu dan memohon ihsan dan kebijaksanaan Duli Tuanku untuk menasihati TYT Yang di-Pertua untuk memastikan Demokrasi Berpelembagaan dipelihara dan dikekalkan melalui menarik balik pengisytiharan pembubaran DUN,” katanya lagi.