TANJUNG KLING: Tiga bekas Ahli Majlis Kerajaan Negeri (Exco ) Melaka yang mengumumkan hilang kepercayaan dengan kepimpinan kerajaan negeri perlu memulangkan semua aset kerajaan yang digunakan memandangkan sudah tidak menyandang jawatan berkenaan.

Ketua Menteri Datuk Seri Sulaiman Md Ali berkata, ini kerana ketiga-tiga mereka bertindak melepaskan jawatan dan bukan dipecat.

“Sebelum ini saya telah terima surat peletakan jawatan tiga Exco ini dan surat yang sama dihantar ke pejabat Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Rustam memaklumkan mereka telah pun melepaskan jawatan serta-merta.

“Jadi mereka bukan lagi Exco dan segala kemudahan, semua (termasuk) kereta perlu dipulangkan kepada Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) mengikut peraturan dan prosedur.

“Mereka yang letak jawatan, dan sudah tidak lagi bersama kerajan negeri yang ada. Saya ‘caretaker’ itu sahaja, yang mana kalau tidak diperlukan dan minta saya turun (lepas jawatan), bila-bila masa saya boleh turun. Apa masalah?,” soalnya.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan secara simbolik penyerahan rumah baharu kepada enam beradik yatim piatu di Tangga Batu di sini, hari ini.

BACA: [LAPOR LANGSUNG] Melaka Bergolak: Kabinet tunggu pendirian Agong dahulu - PM

Beliau terdahulu mengulas keengganan bekas Exco Pertanian, Penternakan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Negeri, Datuk Norhizam Hassan Baktee memulangkan aset kerajaan meskipun telah melepaskan jawatan selepas hilang keyakinan dengan kepimpinan Sulaiman.

Sementara itu, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Kamel Mohamad berkata, dua lagi bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) iaitu Datuk Seri Idris Haron dan Datuk Noor Effandi Ahmad telah bersetuju memulangkan kenderaan rasmi kepada kerajaan Melaka.

“Datuk Seri Idris Haron telah memulangkan kenderaan rasmi pada Khamis lalu manakala Datuk Noor Effandi Ahmad memohon untuk melanjutkan pemulangan pada Isnin ini.

“Namun saya memohon kerjasama bekas ADUN Pengkalan Batu,  Datuk Norhizam, saya harap beliau mendengar permohonan saya pada pagi ini untuk memberikan kerjasama menyerah dan mengembalikan aset kerajaan yang sebelum ini diamanahkan kepada beliau selagi mana memegang jawatan Exco Melaka,” katanya.

Terdahulu Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka terpaksa dibubarkan selepas mendapat persetujuan Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Rustam.

Ia selepas tiga bekas Exco berkenaan bersama bekas ADUN Pantai Kundor, Datuk Nor Azman Hassan ‘berpaling tadah’ hilang kepercayaan dengan kepimpinan kerajaan sekali gus kerajaan negeri hilang majoriti.