KUALA LUMPUR: Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO mengesahkan pengguguran keahlian Datuk Seri Idris Haron dan Datuk Nor Azman Hassan yang bertindak menarik sokongan terhadap Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan menjelaskan perkara itu diputuskan dalam mesyuarat MKT UMNO pada Khamis malam.

Dalam pada itu, Ahmad menjelaskan MKT UMNO turut membincangkan persiapan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

“Adalah diarahkan agar jentera parti di setiap peringkat membuat persiapan yang rapi bagi menghadapi PRN ini dengan menuruti SOP yang akan ditetapkan oleh SPR,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis malam.

Katanya, MKT UMNO juga berharap agar Persidangan UMNO Cawangan yang akan diadakan di 191 bahagian bermula 15 Oktober hingga 30 November dapat berjalan mengikut SOP yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Ahmad turut menjelaskan MKT UMNO menyokong keputusan yang dibuat oleh kerajaan baru-baru ini berhubung penubuhan jawatankuasa khas siasatan kes kematian anggota bomba, Allahyarham Muhammad Adib; semakan semula berkenaan kes Pulau Batu Puteh dan siasatan mengenai dakwaan terhadap bekas Peguam Negara, Tommy Thomas.