JASIN: Perikatan Nasional (PN) Melaka akur sekiranya Pilihan Raya Negeri (PRN) terpaksa ditangguhkan berikutan terdapat kebimbangan penularan jangkitan COVID-19.

Pengerusinya, Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen berkata, beliau percaya kerajaan akan membuat pertimbangan terbaik sebelum mengambil sebarang keputusan, termasuk mengisytiharkan proklamasi darurat.

“Kita akur segala keputusan yang akan dibuat kerana sudah tentu ia akan mengambil kira faktor kesihatan dalam tempoh pandemik COVID-19 ini.

“Saya yakin bahawa semua pertimbangan itu akan mengambil kira laporan daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan (KKM) memandangkan kepentingan rakyat harus mengatasi kepentingan politik.

“Bagi menghormati proses demokrasi dan perlembagaan negeri, sekiranya kerajaan memutuskan untuk mengadakan juga PRN, PN Melaka akan tetap menyertainya,” katanya selepas program Hari Sukan Negara peringkat negeri di Serkam hari ini.

Dalam pada itu, mengulas kenyataan Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang menegaskan parti itu tidak akan bekerjasama dengan Bersatu sekiranya PRN diadakan, Mohd Rafiq yang juga Ketua Badan Pimpinan Bersatu Melaka akur dengan keputusan itu.

“Kita, Bersatu dan PN, akur dengan Presiden UMNO yang mengatakan tidak akan bekerjasama dengan kita. Namun, kita (PN) tidak bersendirian.

“Dalam PN ada gabungan lima parti dan di peringkat Semenanjung ada tiga buah parti iaitu Bersatu, Pas dan Gerakan.

"Jadi, kita sentiasa menjalinkan kerjasama yang erat antara ketiga-tiga parti komponen ini,” tambahnya.

Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kerajaan akan membuat keputusan minggu depan, sama ada akan menasihatkan Pemangku Yang di-Pertuan Agong untuk mengisytiharkan darurat di Melaka bagi menangguhkan PRN.

BACA: [LAPOR LANGSUNG] Melaka Bergolak: Kabinet tunggu pendirian Agong dahulu - PM

Beliau berkata Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dalam proses mendapat taklimat daripada beberapa pihak berhubung perkara berkenaan, sebelum membuat keputusan.