MELAKA: Projek tambak laut di pesisir pantai Negeri Melaka yang didakwa bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Udang, Datuk Seri Idris Haron sudah berlaku ketika pentadbirannya selaku Ketua Menteri Kesepuluh.

Demikian tegas Ketua UMNO Bahagian Tangga Batu, Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad ketika ditemui Astro AWANI, di sini pada Khamis.

Jelasnya, dakwaan yang dibuat Idris dalam beberapa siri sidang media sebelum ini, hanya untuk mengelirukan rakyat Negeri Melaka.

"Saya nak menjawab (dakwaan) Datuk Idris mengenai projek tambak laut supaya lebih penjelasan kepada orang ramai.

"Zaman dia (Ketua Menteri) pun ada kelulusan ribuan ekar tambak laut, kenapa hari ini bila ada kelulusan tambak laut dia persoalkan.

"Saya nak maklumkan, projek tambak laut ini memberikan keuntungan besar kepada kerajaan Negeri Melaka. Pertama, tanah Melaka akan jadi lebih besar, kemudian setiap tanah daripada proses tambak laut, Kerajaan Negeri dapat habuan 1 per enam daripada setiap tambakan laut," katanya.

Tambah Mohamad Ali, hasil daripada tambakan laut, kerajaan negeri turut mendapat faedah daripada cukai yang dikenakan.

Malah pembinaan jalan raya yang menghubungkan Daerah Klebang sehingga Kota Laksaman dengan jambatan yang bernilai puluhan juta ringgit ditanggung sendiri oleh pihak pemaju.

"Kerajaan Negeri tidak keluar satu sen pun, dan setiap tahun kerajaan negeri dapat cukai bandar tambak laut, bernilai ratusan juta hasil cukai tanah dikenakan itu.

"Ini adalah proses sebagai pemimpin kerajaan, mesti ada satu idea atau pendekatan bagaimana nak dapatkan hasil kerajaan disamping itu pembangunan tersusun atur sepertimana pembangunan projek tambak laut.

"Banyak benda cuba diputar belitkan Datuk Idris, saya fikir benda ini tak payahlah," jelasnya lagi.