IPOH:Kedudukan dua Exco Kerajaan Negeri Perak daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) akan dibincangkan berlandaskan kepada kehendak dan keperluan.

Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, perkara itu akan dibincangkan selepas Menteri Besar yang baharu dilantik.

Beliau yang juga Ketua Badan Pimpinan Bersatu Negeri Perak berkata, apa juga keputusan yang akan dibuat, ia berlandaskan kepada kepentingan bersama rakan-rakan dalam Perikatan Nasional (PN).

"Setiap parti mempunyai pelbagai kehendak. Itu yang saya selalu sebutkan berkenaan dengan kehendak dan keperluan.

"Bagi kehendak parti Bersatu, sebagai contoh, kami hendakkan seberapa banyak jawatan untuk ahli parti kami.  Begitu juga untuk parti Pas dan parti UMNO.

"Tetapi, keperluan bagi kita ialah untuk menubuhkan sesuatu kerajaan yang stabil. Maka kehendak itu kadang-kadang perlu kita korbankan untuk bekerjasama dalam sebuah kerajaan yang stabil.

"Jadi, benar itu kehendak bagi pihak UMNO tetapi adakah ia satu keperluan yang mendesak sehingga perlu kita menggadaikan apa juga prinsip permuafakatan yang telahpun kita bina melalui PN?

"Jadi, tepuk dada tanya selera," katanya ketika ditemui selepas menyampaikan bantuan kepada sembilan sekolah persendirian Cina di pejabatnya di sini hari ini.

Bersatu mempunyai dua orang Exco dalam kerajaan negeri Perak iaitu Datuk Abdul Yunus Jamahri dan Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi.

Pada Jumaat, Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, parti itu berpendirian bahawa kerajaan PN di Perak mestilah dikekalkan dan semua barisan Exco mesti diteruskan.

Ia susulan Ahmad Faizal gagal mendapat sokongan majoriti dalam undi percaya terhadapnya sebagai Menteri Besar ketika persidangan Dewan Undangan Negeri Perak, pada Jumaat.