PETALING JAYA : Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah berhubung dengan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor susulan isu kemelut politik negeri itu pada ketika ini.

Sementara timbalan beliau, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi juga telah bercakap dengan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin berhubung perkara sama.

Susulan itu, Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) berkata, konflik politik yang melanda negeri itu dilihat masih terkawal.

"Keadaan (politik di Sabah) masih tenang. Saya sudah bercakap dengan Datuk Seri Hajiji dan Datuk Seri Ahmad Zahid juga sudah bercakap dengan Datuk Seri Bung Moktar dan keadaan terkawal untuk seketika.

"Insya-Allah kita dapat pastikan keadaan dan urusan kerajaan negeri itu tidak terjejas kerana keutamaan kita ialah menjana pertumbuhan ekonomi dan dan menjaga kepentingan rakyat," katanya kepada media selepas menghadiri Mesyuarat PH di Ibu Pejabat Parti Keadilan Rakyat, di sini, pada Sabtu.

BACA: GRS-BN di Sabah 'terkubur', hilang percaya terhadap Hajiji

Kemelut Di Sabah | Anwar Ibrahim sudah berhubungan dengan Hajiji

Dalam perkembangan sama, Anwar berkata, beliau akan memberi tumpuan khusus kepada isu politik di Sabah sejurus pulang daripada mengadakan lawatan rasmi ke Jakarta, Indonesia.

"Pastinya ada (tumpuan khusus di Sabah). Insya-Allah selepas saya balik dari Jakarta, saya akan beri perhatian khusus tentang perkembangan (politik) di Sabah,"  kata Perdana Menteri.

Politik Sabah mencetus pergolakan selepas Pengerusi BN negeri itu, Bung Moktar Radin mengumumkan menarik sokongan kepada kerajaan negeri.

Keputusan UMNO dan BN Sabah itu dibuat susulan hilang kepercayaan terhadap kedudukan Hajiji sebagai Ketua Menteri, selain perjanjian antara BN dan Perikatan Nasional (PN) dilanggar.

Bung Moktar berkata, BN dan PN melaksanakan perjanjian membentuk kerajaan Sabah selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 2020, namun, Hajiji serta pemimpin Bersatu Sabah yang juga komponen PN, keluar parti menyebabkan kerajaan negeri sekarang tiada keabsahan.

DUN Sabah mempunyai 79 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) iaitu 73 ADUN yang dipilih dan enam ADUN dilantik.