KOTA KINABALU: Seorang Ketua Menteri yang bersendirian tanpa sebarang kepastian sama ada dia mendapat sokongan majoriti Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabah, perlu meletakkan jawatan sepertimana termaktub dalam Perkara 6(7) Perlembagaan Negeri Sabah.

Presiden Warisan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata, Datuk Seri Hajiji Noor yang meninggalkan parti itu telah hilang kelayakan sebagai Ketua Menteri Sabah apabila beliau dan barisan ADUN serta pemimpin bertindak keluar daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Menurutnya, ia seperti termaktub dalam Perkara 6(3), dibaca dengan Perkara 6(7) Perlembagaan Negeri Sabah, yang menyatakan bahawa Ketua Menteri hendaklah daripada ketua parti yang mendapat majoriti bilangan kerusi pada Pilihan Raya Negeri Sabah ke-16 pada 2020.

Ditanya sama ada Hajiji yang juga ADUN Sulaman perlu meletak jawatan, Mohd Shafie berkata ia perlu mengikut lunas undang-undang dan menyifatkan Hajiji mengetahui mengenainya.

"Buat masa sekarang, tidak perlu untuk menyatakan siapa yang ada sokongan, sebaliknya menyerahkan kepada perundangan.

"Sehubungan itu, Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin mempunyai kuasa untuk meleraikan kemelut politik ini," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Warisan di sini hari ini.