PRK Cameron Highlands: Pas berkempen untuk BN Ahad ini

Sharom Abu Bakar
Januari 15, 2019 11:48 MYT
Walaupun turun padang, Abdul Hadi enggan meletakkan undi Pas sebagai penentu kemenangan calon BN. - BERNAMA/Fail
Parti Islam Se-Malaysia (Pas) akan membantu calon Barisan Nasional (BN), Ramli Mohd Nor berkempen untuk Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Cameron Highlands.
Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, beliau akan ke Cameron Highlands Ahad ini bagi memberi sokongan kepada Ramli yang merupakan bekas pegawai kanan polis mewakili kaum Orang Asli.
Menurut Abdul Hadi, beliau akan turun padang namun enggan meletakkan undi Pas sebagai penentu kemenangan calon BN.
"InsyaAllah, kita akan memberi kerjasama kepada calon parti pembangkang. Beliau tidak mewakil UMNO, Pas atau mana-mana parti, hanya mengguna simbol Barisan Nasional. InsyaAllah saya akan turun sendiri berkempen pada hari Ahad," katanya.
Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang ditemui selepas perasmian Dewan Datuk Seri Tuan Guru di Darul Iman Training Centre (DITC), Teluk Kalong di sini, pada Selasa.
Majlis perasmian disempurnakan oleh Menteri Besar, Ahmad Samsuri Mokhtar.
Turut hadir , Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin.
Pada Pilihan Raya Umum ke-14, calon MIC, Datuk C. Sivarraajh menang kerusi P.078 Cameron Highlands selepas meraih 10,301 undi, mengalahkan M. Manogaran dari DAP dengan majoriti 567 undi sementara calon Pas, Wan Mahadir Wan Mahmud memperolehi 3,587 undi.
Pada 30 Nov lalu, Mahkamah Pilihan Raya membatalkan kemenangan Sivarraajh, atas sebab wujudnya bukti pembelian undi ketika berkempen.
#Abdul Hadi Awang #Cameron Highlands #pilihan raya kecil