Pembangkang hari ini menyelar Kerajaan yang dilihat menggunakan kedudukan dan kuasa bagi meraih undi menjelang Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai, Johor, 16 November depan.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata tindakan beberapa menteri mengumumkan peruntukan jutaan Ringgit di Tanjung Piai ketika ini dilihat bertentangan manifesto Pakatan Harapan (PH) sendiri.

“Nampaknya mereka sudah mula membeli undi. Pergi ke sana dan umum RM4 juta dan sebagainya, untuk apa? Kenapa sekarang? Kenapa bukan sebelum pilihan raya?

“Sudah setahun setengah mereka menang, sepatutnya sudah umum apa yang nak diumum tapi sebaliknya tunggu sebelum pilihan raya.

“Jadi sangat jelas PH tidak menghormati apa yang dijanjikan dalam manifesto mereka yang mahu memastikan pilihan raya bebas daripada campur tangan kerajaan,” katanya di lobi Parlimen hari ini.

Beliau mengulas pengumuman Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Salahuddin Ayub mengumumkan RM3 juta bagi projek naik taraf tiga jeti nelayan dalam Parlimen Tanjung Piai semalam.

Sebelum itu, Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Rina Harun turut mengumumkan mengenai kelulusan 23 permohonan geran Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Parlimen Tanjung Piai dengan peruntukan RM230,000.

Selain itu, Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman turut mengumumkan peruntukan RM4 juta untuk naik taraf kemudahan sukan dan rekreasi di Tanjung Piai.