SUNGAI PETANI: Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Kedah, Datuk Mahfuz Omar mengesahkan beliau bukanlah calon Menteri Besar yang akan mewakili Barisan Nasional (BN) dan PH sekiranya gabungan berkenaan menang di dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Malah Mahfuz secara berseloroh berkata, ada seseorang akan ‘dimasukkan ke hospital sakit jiwa’ sekiranya beliau ditabalkan sebagai Menteri Besar Kedah kelak.

Menurut Pengerusi Majlis Pimpinan Perpaduan Negeri Kedah itu, pemilihan calon bagi jawatan nombor satu di Negeri Jelapang Padi itu bagi PH masih belum dibincangkan lagi.

Sebaliknya, kata Mahfuz, perkara itu hanya akan diputuskan selepas urusan pembahagian kerusi bagi menghadapi PRN selesai dilaksanakan sekitar pertengahan bulan depan.

"Kita akan bincang selepas ini untuk menentukan siapa calon Menteri Besar Kedah, yang pasti bukan saya, sebab kalau saya jadi Menteri Besar Kedah, sah (akan) ada orang ‘masuk wad gila’.

"Sekarang pun (orang itu) tengah ‘gila’ yang (mana) orang (ramai) melalui video tular tunjukkan kegelisahan mereka (itu)… (video yang mereka muat naik) itu (adalah) untuk melagakan dalam kalangan pimpinan (BN dan PH).

"(Saya sahkan) tidak bincang lagi (soal siapa Menteri Besar), (selepas) settlekan (selesaikan) pembahagian (kerusi di Kedah), selepas itu Insya-Allah kita akan tentukan," jelas Mahfuz.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Majlis Sidang Meja Bulat, Parti-parti Kerajaan Perpaduan Peringkat Negeri Kedah, di Dewan Persatuan Pendidikan Akhlak Lip Seang Kor, di sini, malam tadi (Isnin).

Dalam perkembangan sama, beliau berkata, pemilihan Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor sebagai ‘poster boy’ Menteri Besar Kedah sekiranya Perikatan Nasional (PN) menang di dalam PRN akan datang membuktikan parti itu ketandusan pemimpin profesional dan berwibawa.

"(Keputusan) Perikatan Nasional (untuk) menamakan Sanusi (sebagai 'poster boy' Menteri Besar) adalah kerana mereka sendiri tiada calon lain,

"(Mereka terutama Pas) merasakan itu yang paling terbaik, (walaupun telah ditonjolkan) sifat yang 'loqlaq' (dan) dia yang 'rempang' (itulah) yang paling baik (untuk mereka)," tegas Mahfuz lagi.

Pada Isnin, Muhammad Sanusi diumumkan akan dikekalkan sebagai Menteri Besar Kedah sekiranya gabungan PN menang di negeri itu dalam PRN yang akan berlangsung tidak lama lagi.

Bahkan, wajah Muhammad Sanusi juga akan disandarkan sebagai ‘poster boy’ di Kedah pada PRN akan datang, kata Pesuruhjaya Pas Kedah, Datuk Ahmad Yahaya.

Dalam masa sama, Ahmad yang juga Ketua Dewan Ulama Pas Pusat berkata, pihaknya yakin sokongan berterusan pengundi turut bakal memberi kesan di negeri dikuasai PH seperti di Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang.