KUCHING: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Sarawak akur dengan keputusan Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk tidak bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak.

Ketua Badan Pimpinan Bersatu Sarawak Senator Jaziri Alkaf Abdillah Suffian berkata pihaknya juga menyokong penuh Gabungan Parti Sarawak (GPS) pimpinan Tan Sri Abang Johari Tun Openg dalam memastikan gabungan tersebut memperoleh kemenangan pada PRN itu.

"Ahli-Ahli Bersatu Sarawak akan turun membantu kempen serta menggerakkan seluruh jentera bagi memastikan GPS mencapai kemenangan besar dan cemerlang pada PRN Sarawak kali ini.

"Kita memberi kepercayaan kepada Abang Johari untuk membawa kemenangan dan sekali gus mempertahan kerajaan negeri pimpinan GPS," menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Muhyiddin hari ini mengumumkan Bersatu tidak akan bertanding pada PRN Sarawak yang berlangsung pada bulan depan.

Pengerusi Perikatan Nasional itu berkata keputusan tersebut dibuat selepas sesi perbincangan bersama Abang Johari baru-baru ini.

Suruhanjaya Pilihan Raya telah mengumumkan tarikh penamaan calon bagi PRN Sarawak ditetapkan pada 6 Dis, pengundian awal pada 14 Dis dan pengundian pada 18 Dis.

-- BERNAMA