KUALA LUMPUR: Berbaki sehari lagi kempen sebelum menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) sekali lagi menyeru agar pengundi di Johor memberi peluang kepada parti itu untuk membentuk kerajaan baharu selepas 12 Mac ini.

Ini kerana menurut Pengerusinya, Tun Dr Mahathir Mohamad, rakyat Johor tidak akan memilih calon-calon daripada parti yang didakwa dipimpin dan didalangi oleh perasuah dan 'penyamun'.

Bekas Perdana Menteri itu menambah, beliau juga yakin rakyat Johor akan menolak individu yang tidak ada nilai, prinsip, amanah serta sifat mulia yang lain.

"Begitu juga dengan parti yang dipimpin pengkhianat walaupun dia dari negeri Johor.

"Rakyat Johor telah berkali-kali buktikan bahawa mereka bersedia tolak pemimpin dan parti yang menyeleweng dari landasan.

"Pada pilihan raya negeri kali ini Pejuang akan bertanding 42 kerusi dan calon-calon kami telah berikrar akan menolak rasuah, salah guna kuasa dan pengkhianatan.

"Jika diberi peluang memerintah negeri Johor, amalan-amalan yang baik ini akan memastikan usaha membangun kembali ekonomi dan kesejahteraan rakyat dapat dilaksana.

"Sokonglah Parti Pejuang dan beri peluang untuk dirikan kerajaan yang bebas rasuah di Johor ini," demikian kata Dr Mahathir dalam kenyataan terbaharunya kepada pengundi Johor, pada Khamis.

Mengulas lanjut, Ahli Parlimen Langkawi itu berkata, PRN Johor sepatutnya tidak perlu diadakan lagi kerana keadaan di Johor dan seluruh negara yang masih tidak menentu akibat COVID-19, yang menjejaskan ekonomi dengan teruk.

Malangnya, Dr Mahathir mendakwa kerajaan negeri pimpinan UMNO telah menyebabkan PRN Johor diadakan dengan alasan kerajaan negeri tidak stabil.

"Alasannya ini sebenarnya memperlihat percaturan politik yang tidak mempeduli nasib rakyat yang kehilangan pekerjaan, tempat tinggal, malahan mendapat makanan harian.

"Namun, apabila pilihan raya negeri ini tetap diadakan, ia peluang untuk rakyat Johor menolak parti dan pemimpin yang memikir kepentingan diri dan politik mereka sahaja," ujarnya.

Dr Mahathir berkata, jika kumpulan yang didakwa mengamalkan rasuah itu menang dalam PRN Johor, mesej yang disampaikan kepada seluruh rakyat ialah perasuah dan penyamun wang negara boleh diterima dan diberi kuasa kembali untuk menerus perbuatan mereka.

Katanya lagi, perubahan yang menyebabkan ketidakstabilan negara telah memberi peluang kepada penyamun dan penyangak negara untuk menutup kebenaran dan menegak penipuan mereka.

PRN Johor akan berlangsung pada 12 Mac ini.