KUALA LUMPUR: Kempen #JohorNgundi sedang digerakkan bagi menggalakkan pengundi Johor yang berada di luar negeri pulang pada pilihan raya negeri (PRN) akan datang, dengan menawarkan perkhidmatan pengangkutan percuma.

Ini bagi memberi kemudahan kepada ramai pengundi di luar Johor terutama golongan belia yang mungkin keberatan untuk pulang kerana masalah kewangan.

Menurut Jurucakap Rasmi Sekretariat Pulang Undi Johor, Aidi Zuhaili, perkara itu menjadi keutamaan apatah lagi PRN Johor merupakan kali pertama Undi18 berkuat kuasa.

"Kami tiada apa-apa dana, kami bukan sesiapa yang penting, tetapi kami akan cuba sedaya upaya usaha mengumpul dana bagi membolehkan kempen ini berjaya dan dapat mengangkat suara anak muda.

"Diharapkan kempen ini dapat memberi kesedaran betapa pentingnya suara anak muda dalam PRN Johor kali ini,” katanya dalam sidang media di ibu negara, hari ini.

Justeru, Aidi memohon sumbangan orang ramai bagi menjalankan kempen tersebut untuk membolehkan lebih ramai pengundi pulang ke Johor dan melaksanakan tanggungjawab mereka.

Setakat ini, pihak mereka mendapat kerjasama dan sokongan 15 kumpulan pelajar dan NGO bagi membantu mereka menyelaraskan rancangan tersebut.

Sabtu lepas, Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad memohon pembubaran DUN bagi membuka laluan kepada pilihan raya negeri dalam tempoh 60 hari.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dijangka bermesyuarat pada 9 Feb ini untuk memutuskan hari penamaan calon dan pengundian.

Sementara itu, Aidi berkata, sumbangan boleh disalurkan ke Pertubuhan Pembangunan Intelektual Malaysia (5644 9045 2956 - Maybank) dan orang ramai juga boleh menggunakan tanda pagar ‘JohorNgundi’ di laman sosial untuk maklumat lanjut.